Covid-19 boleh dikawal, diubati - Menteri Luar China
Penularan wabak Covid -19 yang meragut nyawa 2,188 orang - dan mencetuskan panik di seluruh dunia - boleh dikawal serta diubati, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Bercakap di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Asean-China mengenai penyakit koronavirus di Vientiane, Laos, hari ini beliau berkata statistik menunjukkan terdapat penurunan mendadak dalam kes baru virus itu di China.
Keadaan itu, katanya, menyaksikan jumlah jangkitan Covid-19 menurun selama 15 hari berturut-turut, manakala lebih 14,000 pesakit dibenarkan keluar dari hospital.
“Ini menunjukkan wabak itu boleh dikawal dan diubati. China yakin akan meraih kejayaan dalam perjuangan menentang penularan wabak Covid-19,” katanya.
Wang turut menafikan dakwaan bahawa Beijing gagal menangani penularan wabak itu dengan baik.
"China bukan sekadar melindungi rakyatnya tetapi juga orang lain di seluruh dunia,” katanya.
Mesyuarat khas itu diadakan untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka langkah serta kaedah baru bagi menangani penularan wabak Covid-19 di rantau ini.
Mesyuarat serupa pernah diadakan susulan penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) pada 2003.
Pada mesyuarat itu, sebuah video dipertontonkan yang menunjukkan sokongan negara Asean kepada China dalam memerangi virus berbahaya tersebut.
Para hadirin turut melaungkan "Stay strong Wuhan. Stay strong China. Stay strong Asean” di penghujung video itu.
Wang turut menzahirkan penghargaannya kepada Asean yang menyokong dan berdiri bersama-sama Beijing sejak penularan wabak itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai