Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbandingan undang-undang pemandu mabuk Malaysia, negara luar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Liputan berita yang meluas dan kemarahan orang ramai terhadap sejumlah kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk mendorong Malaysia menyusun langkah bagi membendung masalah tersebut.

Antara cadangan yang dinyatakan ialah meminda peruntukan bagi kesalahan memandu secara berbahaya, iaitu Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mengikut cadangan, hukuman bagi pesalah terbabit akan ditingkatkan sebanyak lima kali ganda, denda sehingga RM100,000 dan penjara maksimum 20 tahun.

Jika dilihat pada negara mempunyai kadar kematian pemandu mabuk dan kes berkaitan yang rendah, biasanya mereka turut memperuntukkan hukuman berat serta beberapa peraturan lain berkenaan alkohol.

Hal itu termasuk had penjualan dan promosi alkohol serta sekatan untuk meminum alkohol, serta cukai yang tinggi untuk produk tersebut.

Dalam artikel ini, Malaysiakini akan mengkaji bagaimana Belanda, California di Amerika Syarikat dan New Zealand mengamalkan peraturan ketat bagi menangani penyalahgunaan alkohol berbanding Malaysia.

Mula-mula, mari lihat statistik kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk di empat lokasi terbabit.

Perlu dinyatakan bahawa Malaysia mencatatkan kadar kematian kemalangan jalan raya lebih tinggi berbanding tiga lokasi yang dibuat perbandingan ini.

Ambang BAC lebih tinggi

Menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia mencatatkan 23.6 kematian bagi setiap 100,000 warganegara.

Sebaliknya, Malaysia mempunyai kemungkinan kematian maut berkaitan mabuk lebih rendah berbanding tiga lokasi berkaitan.

Pada 2018, kematian yang berpunca daripada pemandu bawah pengaruh alkohol (DUI) ialah 54 (atau 0.92 peratus) daripada 5,870 keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Berdasarkan maklumat yang tersedia untuk tatapan umum, di Belanda, pada 2015 menyaksikan antara 12 peratus hingga 22.5 peratus daripada 621 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah berkaitan dengan isu DUI.

Pada 2017, jumlah kematian daripada kemalangan jalan raya berkaitan DUI di California ialah sebanyak 31 peratus daripada 3,602 kematian, manakala di New Zealand pada 2016 , sebanyak 27 peratus daripada 328 kematian adalah berkaitan isu yang sama.

Satu penjelasan yang mungkin dapat menjelaskan keadaan ini ialah, penguatkuasaan undang-undang meletakkan ambang kepekatan alkohol dalam darah (BAC) - iaitu sebanyak 0.08 peratus - memungkinkan sesetengah kemalangan maut tidak termasuk dalam kategori kes DUI.

WHO mengesyorkan kadar BAC pada seseorang pemandu ialah tidak melebihi 0.05 peratus. Piawaian itulah yang digunakan oleh kerajaan Belanda dan New Zealand

AS pula menetapkan kadar BAC sebanyak 0.08 peratus dan ia diikuti oleh kerajaan California. Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri di AS yang mempunyai kadar BAC lebih rendah.

Pada masa sama, Belanda, California dan New Zealand menguatkuasakan peraturan lebih ketat bagi penjualan dan promosi alkohol.

Ada tempoh jual arak

Malaysia membenarkan penjualan alkohol hanya kepada rakyat berumur 21 tahun dan ke atas. Had ini kemudian menurun kepada umur 18 tahun pada 2017.

Promosi produk alkohol pula memang tidak dibenarkan di televisyen dan radio tetapi boleh di akhbar.

Selain itu, alkohol di Malaysia turut dijual bebas dan tersedia 24 jam di beberapa kedai serbaneka.

New Zealand menghadkan jumlah alkohol yang boleh dijual. Kelab malam dan restoran dibenarkan untuk menjual alkohol antara jam 8 pagi hingga 4 pagi pada hari berikutnya, manakala di kedai biasa, ia hanya boleh dijual antara jam 7 pagi dan 11 malam.

Selain itu, New Zealand juga mengharamkan penjualan alkohol dalam kuantiti banyak pada hari cuti seperti Hari Natal, Good Friday dan Easter Sunday.

Di California pula, alkohol hanya boleh dijual antara pukul 6 pagi dan 2 pagi pada hari berikutnya.

California juga membuat undang-undang bahawa menjadi satu kesalahan jika meminum, memiliki atau menyimpan bekas alkohol secara terbuka dalam kereta, kecuali jika ia disimpan dalam beg.

Undang-undang tersebut biasanya dirujuk sebagai undang-undang open container.

Belanda mempunyai undang-undang dimana sebarang iklan mengenai alkohol hanya boleh disiarkan antara pukul 6 pagi dan 9 malam.

[Baca berita asal]