Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib, Rosmah hadir beri keterangan di Bukit Aman

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Najib Razak, dan isterinya Rosmah Mansor hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini berhubung siasatan ke atas beberapa klip rakaman audio didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malaysiakini difahamkan Najib dan Rosmah tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 10.45 pagi tadi, melalui pintu belakang kawasan ibu pejabat tersebut.

Menurut peguam Rajivan Nambiar proses itu mengambil masa kira-kira sejam.

“Datuk Seri dan Datin Seri sudah beri kenyataan bagi susulan penyiasatan.

“Kita mula (beri kenyataan) pukul 10.30 pagi tadi dan Datuk Seri selesai pada 10.45 , dalam 15 minit.

“Kita sudah beri kenyataan dan sedia beri kerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita.

Turut hadir sama, peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim.

Peguam mengesahkan Najib dan Rosmah akan hadir ke SPRM pada 2:30 petang ini, bagi penyiasatan berhubung kes sama.

Mereka dipanggil memberi keterangan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di Kuala Lumpur.

Polis sudah merakam keterangan 12 individu bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio yang didakwa menunjukkan berlaku konspirasi jenayah peringkat tinggi.

Antara mereka ialah Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh; dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Jan lalu SPRM mendedahkan rakaman audio mengandungi perbualan beberapa individu yang antara lain membayangkan berlaku kebocoran maklumat dari Jabatan Peguam Negara kepada Najib berkaitan siasatan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Selain Najib, perbualan itu dipercayai turut membabitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM sendiri, Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu bertugas di Jabatan Peguam Negara.