Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad mohon batal tuduhan pengubahan wang haram RM2juta

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan memfailkan permohonan agar pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2 juta yang dihadapinya digugurkan atas alasan ia tidak berasas dan bercanggah undang-undang.

Perkara itu didedahkan oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria mengesahkan permohonan itu diterima pada 14 Feb dan meminta masa untuk pihak pendakwaan membalas permohonan berkenaan.

DPP juga memohon mahkamah menguruskan permohonan mencabar pertuduhan itu terlebih dahulu sebelum berurusan dengan kes pengubahan wang haram terhadap Ahmad.

Hakim Azman Ahmad kemudian menetapkan 26 Mac untuk mendengar permohonan berkenaan.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengesahkan bahawa peguamnya memfailkan Notis Usul dan Afidavit Sokongan, dan kertas kausa (dokumen mahkamah) telah disampaikan kepada pihak pendakwaan pada 14 Feb.

Hamidi kemudiannya mengesahkan permohonan difailkan untuk menggugurkan pertuduhan di bawah Seksyen 173 (g) Kanun Tatacara Jenayah.

"Kami mencabar integriti (keutuhan) daripada pertuduhan itu. Kami mengatakan pertuduhan itu adalah salah dari segi undang-undang dan tidak berasas.

"Pertuduhan itu adalah tidak berasas dan kami mencabar kesahihan, integriti dan motif pertuduhan," kata Hamidi kepada media di samping Ahmad berdiri disebelahnya di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ketika diminta media, Hamidi bagaimanapun enggan berkongsi salinan kertas kausa berkenaan.

Seksyen 173 (g) memberi kuasa kepada mahkamah untuk melepaskan tertuduh jika ia mendapati pertuduhan itu tidak berasas.

Pada 21 Jan lalu, Ahmad mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan pengubahan wang haram dengan kegagalan mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung RM2 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan kedua memberi kenyataan palsu kepada SPRM.