Skip to main
Logo Malaysiakini

Redzuan 'amat kesal' dicabar Mas Ermieyati di Masjid Tanah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pengerusi Bersatu Melaka, Mohd Redzuan Md Yusof, meluahkan rasa kecewanya terhadap Anggota Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang cuba merebut jawatan ketua untuk bahagian Masjid Tanah yang disandangnya.

Kata Redzuan, tindakan Mas Ermieyati itu ibarat tetamu yang dipelawa masuk, tetapi akhirnya cuba “menukar barang-barang di rumah” malah seolah-olah mahu “meruntuhkan rumah yang dibina” beliau.

“Saya bawa dia masuk ke rumah, saya pelawa dia duduk dan berharap kami dapat duduk bersama berbincang untuk tambah baik, tetapi dia masuk rumah saya, dia tukar barang-barang rumah.

“Di mana letaknya kejujuran dia untuk bersama saya membangunkan Bersatu dengan cuba menolak saya keluar?” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Mengakui terkejut dengan keputusan Mas Ermieyati, menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu turut mengimbau bagaimana beliau adalah individu yang bertanggungjawab membawa bekas ketua Puteri Umno Malaysia terbabit menyertai Bersatu.

Menurut Redzuan, beliau berusaha mengajak Mas Ermieyati meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu sejak hari pertama Dewan Rakyat bersidang sehinggalah akhirnya ahli parlimen Masjid Tanah itu menyerahkan borang keahlian.


Baca Mas rasmi jadi ahli Bersatu


“Saya nyatakan secara jujur, ketika beliau dalam Umno, saya sendiri pada hari pertama sebelum persidangan parlimen bermula, pada majlis mesra sesi suai kenal ahli parlimen, saya berjumpa dengan dia kerana dia merupakan kenalan saya di kampung.

“Saya katakan padanya, sekarang ini PH sudah menjadi kerajaan, tidak berminatkah untuk bersama perjuangan ini bagi mengembalikan perjuangan asal parti Melayu?

"Ketika itu, dia katakan kepada saya, tunggulah.

“Sampai ke kemuncaknya, saya sendiri bawa dia secara fizikal bertemu dengan pengerusi Bersatu (Dr Mahathir Mohamad) untuk serahkan borang penyertaan dan saya sendiri yang mengambil gambar dia menyerahkan borang itu kepada Dr Mahathir Mohamad,” luah Redzuan.

Selepas kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Mas Ermieyati merupakan antara anggota parlimen paling awal keluar dari Umno - iaitu pada 1 Julai 2018 - untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Patut jadi tulang belakang

Pada Disember 2018, Mas Ermieyati secara rasmi diterima menjadi ahli Bersatu atas alasan kepentingan pengundi di kawasannya, bukan kerana pangkat dan jawatan.

Sehari sebelum itu hampir semua pemimpin Umno Sabah turut meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Bersatu.

Dalam pemilihan Bersatu Masjid Tanah, Redzuan dicabar Mas Ermieyati serta setiausaha bahagian terbabit, A Lukman Ab Ghani.

Untuk rekod Redzuan kini menjadi ahli parlimen Alor Gajah.

Tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya, Redzuan mengakui perasannya “bercampur-campur” dan “amat kesal” dengan keputusan diambil Mas Ermieyati, lebih-lebih beliau dia sendiri pernah menyarankan ahli parlimen Masjid Tanah itu mengisi kelompongan sayap Wanita Bersatu bahagian tersebut.

“Perasaan saya bercampur-campur. Saya amat kesal sebabnya dia sendiri menyatakan kepada saya yang dia akan bersama-sama membangunkan Bersatu di Masjid Tanah. Saya juga terima kehadirannya dengan terbuka," katanya.

Malah, kata Redzuan, selepas menempuh ranjau dan liku untuk menubuhkan Bersatu serta memperkenalkan parti itu kepada pengundi di Melaka, beliau mengharapkan pemimpin dalam parti itu saling menyokong, bukan saling menolak.

“Susah kerana saya seorang sahaja ketika itu. Saya pernah tidur di bawah pokok, kereta dipancitkan orang semata-mata hendak membawa perjuangan Bersatu ketika itu.

"Ramai yang menolak, ketawakan perjuangan Bersatu, tetapi kita tetap berjiwa besar walaupun kecil.

“Alhamdulillah atas semangat juang ketika itu, kini Bersatu ada 26 kerusi parlimen, termasuk (yang dipegang) Mas Ermieyati.

"Sepatutnya 26 pemimpin inilah yang menjadi tulang belakang untuk mengembangkan parti, bukan menolak satu sama lain,” katanya lagi.

Selain bertanding bagi mempertahankan jawatan di bahagian Masjid Tanah, Redzuan juga bertanding jawatan naib presiden di peringkat pusat pada pemilihan parti pertama sejak Bersatu ditubuhkan.

Pencalonan bagi pemilihan parti bermula sejak 26 Januari ini, disusuli persidangan peringkat cawangan mulai 15 Feb hingga 29 Mac ini, manakala mesyuarat peringkat bahagian pada 18 April nanti.

Perhimpunan agung tahunan dan pemilihan parti pula dijadualkan berlangsung serentak bermula 25 hingga 28 Jun ini.

Sementara itu Mas Ermieyati yang dihubungi Malaysiakini enggan memberikan sebarang ulasan.