Skip to main
Logo Malaysiakini

MAS diskriminasi, buang penyelia pramugari sebab 'gemuk' - WAO

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) membidas Penerbangan Malaysia kerana dilaporkan memberhentikan seorang penyelia pramugari kerana dikatakan memiliko berat badan berlebihan.

NGO itu menyuarakan rasa kesal terhadap Pengerusi Mahkamah Perusahaan Syed Noh Said Nazir yang membuat keputusan memihak kepada MAS dalam kes yang dibawa oleh bekas penyelia pramugari terbabit, Ina Meliesa Hassin.

Ina Meliesa memfailkan kes terhadap MAS di Mahkamah Perusahaan kerana mendakwa diberhentikan kerja secara tidak sah oleh syarikat penerbangan itu.

WAO berkata kes ini termasuk diskriminasi terhadap Meliesa dan menggesa Kementerian Sumber Manusia dengan segera memasukkan peruntukan antidiskriminasi di dalam Akta Pekerjaan.

"Tanggungjawab terletak di bahu MAS untuk membuktikan kriteria berat badan pramugari penerbangan sememangnya merupakan syarat yang amat diperlukan dan suatu perjanjian (bona fide) yang sangat penting dalam tugas itu.

"Hanya menegaskan gambaran (alasan) 'imej' dan 'keselamatan' tidak mencukupi. Lagipun, bagaimana tambahan berat sebanyak 0.7kg boleh menjejaskan prestasi kerja seseorang?

"Keupayaan pemandu penerbangan untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang akhirnya terletak pada kemahiran interpersonal mereka - bukannya berat badan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

The Edge melaporkan pada Rabu, Meliesa telah memfailkan saman di bawah Seksyen 20 (3) Akta Hubungan Perindustrian terhadap MAS kerana memberhentikannya secara tidak adil selepas bekerja selama 25 tahun di syarikat penerbangan itu.

Syed Noh, bagaimanapun, dilaporkan memutuskan bahawa terdapat sebab munasabah untuk MAS memberhentikannya.

Beliau juga dipetik berkata syarikat penerbangan itu secara memadai telah menjelaskan polisi berat badannya.

Keputusan Mahkamah Perusahaan itu dilaporkan dibuat pada 14 Februari lalu.

Menurut laporan The Edge, berat badan Meliesa didapati melebihi indeks jisim badannya seperti yang termaktub dalam manual kru kabin MAS.

Dikatakan ketinggian Meliesa adalah 160cm, bermaksud berat badan maksimum yang dibenarkan adalah 61kg. Ketika sesi terakhir menimbang berat badan secara rasmi pada 10 April 2017, beratnya adalah 61.7kg.

Dia kemudiannya tidak dibenarkan menjalankan tugas utamanya sebagai penyelia penerbangan. Setelah berkali-kali gagal memenuhi syarat berat di bawah program pengurusan berat badan selama 18 bulan, dia diberhentikan kerja.

Syarikat penerbangan itu juga dilaporkan memberitahu mahkamah MAS telah memberi banyak peluang kepada Meliesa untuk memenuhi keperluan berat badan dan bahkan diberikan doktor penerbangan, tetapi dia berulang kali gagal hadir penimbangan berat badan berat yang dijadualkan.

Sementara itu, peguam Meliesa, dilaporkan menegaskan alasan berat badan yang berlebihan menimbulkan risiko keselamatan adalah remeh.

Pasukan peguam Meliesa menekankan syarikat penerbangan lain seperti British Airways, Lufthansa, KLM, dan Qantas tidak mengenakan keperluan BMI terhadap kru kabinnya, namun tidak menghadapi risiko keselamatan.

Sementara itu, WAO berkata MAS perlu menghormati kakitangannya jika ingin menjadi syarikat penerbangan yang dihormati.

Ia juga menyuarakan rasa kesal kerana Mahkamah Perindustrian gagal mencabar rasional di sebalik polisi pengurusan berat badan MAS.

[Baca berita asal]