Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis cekup 5 lelaki, rampas dadah bernilai RM748k

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kegiatan rangkaian sindiket dadah yang menjadikan kediaman di Cheras di Kuala Lumpur sebagai makmal memproses dan mengedar dadah terbongkar dengan penahanan lima lelaki dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM748,270 dalam tiga serbuan pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata empat lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan yang ditahan dikenal pasti mempunyai kaitan dengan satu kes serbuan sindiket dadah terdahulu di sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, 12 Feb lepas.

"Dadah pelbagai jenis bernilai lebih setengah juta telah dirampas kali ini. Kami turut menjumpai kaitan kesemua tangkapan serta rampasan ini dengan kes terdahulu di mana mereka dipercayai datang daripada sindiket yang sama yang aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Lembah Klang.

"Dalam serbuan pertama dengan berpandukan siasatan suspek kes terdahulu, polis menemui satu unit kediaman yang dijadikan makmal dadah, dan rampasan dibuat ke atas beberapa alat memproses dadah selain penemuan dadah pelbagai jenis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Beliau berkata pihak polis seterusnya membuat serbuan kedua di unit berlainan dan menahan empat warga China berumur 26 hingga 28 dipercayai pekerja dalam memproses dadah berkenaan.

“Sebuah lagi unit di residensi sama yang dijadikan tempat penyimpanan dadah turut ditemui selepas polis menahan seorang warga tempatan berusia 33 tahun berasal dari Sarawak. Suspek dipercayai bertindak selaku tukang masak atau chef dadah,” katanya.

Menurut Mazlan, hasil siasatan lanjut turut mendapati tiga daripada empat warga China yang ditahan positif ujian saringan air kencing.

Beliau berkata siasatan juga mendapati kesemua suspek sudah terbabit dengan kegiatan berkenaan dan menyewa unit residensi itu bagi menjalankan aktiviti dadah sejak dua bulan lalu.

"Antara dadah dirampas ialah ketamin seberat 4,846 gram, serbuk esctasy seberat 5,014 gram dan 15 biji pil ekstasi. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan alatan memproses dadah mencecah RM754,000," katanya.

Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 18 Feb lepas.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama