Amanah S'wak bantah lantikan penyelaras parlimen
Pemuda Amanah Sarawak dilaporkan membantah tindakan Timbalan Pengerusi PH negeri, Baru Bian melantik 19 koordinator parlimen pada hari ini.
Menurut Utusan Borneo, Ketua Pemuda Amanah Sarawak, Abu Tariq mendakwa pelantikan itu dibuat tanpa perbincangan atau keputusan kepimpinan Pakatan Harapan negeri.
"Wakil Amanah Sarawak yang bertanding di kawasan Parlimen yang ditandingi Amanah seperti di parlimen Santubong, Batang Sadong, Tanjung Manis, Batang Lupar dan Samarahan adalah sepatutnya menjadi hak Amanah tetapi Penyelaras Parlimen yang dilantik di situ bukan dari kalangan wakil Amanah Sarawak," katanya, petik laporan itu hari ini.
Menurut Abu, Bersatu Sarawak dilantik untuk kawasan parlimen Santubong manakala parlimen Batang Sadong, Tanjung Manis, Batang Lupar dan Samarahan dilantik dari kalangan wakil PKR Sarawak.
"Sepatutnya konsensus kami jelas bahawa siapa yang bertanding di parlimen tersebut merekalah yang sepatutnya dilantik (sebagai Penyelaras Parlimen)," jelasnya.
Pelantikan tersebut, kata Abu menafikan hak Amanah Sarawak daripada menjadi penyelaras parlimen di kawasan yang ditandingi parti itu pada PRU14 lalu.
"Dengan tegas dan kecewa, Pemuda Amanah Sarawak menolak sepenuhnya perlantikan penyelaras parlimen ini.
"Untuk itu surat bantahan akan dihantar kepada Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak dan Majlis Presiden PH," katanya lagi.
Abu juga dipetik Utusan Borneo berkata kepimpinan PH Sarawak perlu berbincang dan memutuskan hal ini.
"Pemuda Amanah Sarawak menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil tindakan yang sewajarnya kerana hal ini menjejaskan keutuhan PH di negeri ini," katanya.
Baru Baru, yang membuat pelantikan dalam kapasitinya sebagai pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sarawak berkata penyelaras parlimen ditugaskan memastikan semua program pembangunan di bawah rancangan lima tahun kerajaan persekutuan dilaksanakan dengan betul.
Setiap daripada 19 koordinator akan diberikan peruntukan tahunan sebanyak RM500,000, tertakluk kepada kelulusan oleh Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Pembangunan Negeri.
Ia juga akan mewakili kerajaan persekutuan yang ditadbir PH dalam mempromosikan dan memudahkan pelaksanaan dasar-dasarnya di Sarawak, sambil memperkuat hubungan dengan rakyat di kawasan parlimen yang dipegang oleh pembangkang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai