Naib Ketua AMK kesal diberi notis tunjuk sebab
Naib Ketua Pemuda PKR (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR berhubung sidang media yang dilakukan semasa Kongres AMK berlangsung akhir tahun lalu.
Memaklumkan hal itu di Facebook, Nazree berkongsi gambar notis bertarikh 20 Februari, yang diterimanya dari lembaga disiplin pada tarikh sama.
Berdasarkan paparan tersebut, Lembaga Disiplin PKR bertindak setelah menerima aduan terhadap naib ketua AMK dan mendapati ada asas terhadap aduan yang dikemukakan.
Aduan tersebut berkaitan sidang media yang dilakukan Nazree ketika Kongres AMK pada 6 Disember tahun lalu. Dia dikatakan menuntut agar kongres berkenaan dibatalkan, selain didakwa tidak menghadiri sesi persidangan tahunan parti pada sebelah petang.
Bersama gambar itu, Nazree turut menulis petikan yang memberi peringatan bahawa perjuangan reformasi mungkin akan terkandas di tangan mereka yang “tidak memaknainya," sehingga mengadakan sidang media dan menyuarakan pandangan pun kini menjadi satu kesalahan dalam parti.
“Kepada sahabat-sahabat pimpinan muda yang menerima notis yang sama usah gentar, usah gundah gulana, masa akan menghukum mereka. Saya turut bersama saudara teman-teman muda,” tulisnya lagi.
Nazree antara pimpinan AMK yang berpihak kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Kongres PKR mengundang kontroversi sejak sebelum ia berlangsung lagi, sehinggalah kemuncaknya pada hari Kongres AMK yang menyaksikan pergaduhan besar tercetus antara perwakilan parti dengan sekumpulan pemuda berbaju hitam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Nazree meluahkan “kekesalan” atas perkara yang berlaku. Jelasnya, keputusan untuk tidak terlibat dengan kongres di sebelah petang diambil bagi mengurangkan tekanan ekoran pergaduahan yang tercetus sebelumnya pada pagi.
Sidang media yang diadakan itu juga, Nazree membincangkan tentang kebimbangan dari aspek keselamatan, justeru memohon agar kongres tersebut perlu disemak semula.
“Jadi sepatutnya pihak sekretariat atau lembaga disiplin atau pimpinan atasan parti patut berasa selesa dengan pendirian kita kerana kita mengambil langkah untuk tenangkan suasana itu. Saya ingat itu lebih memberikan manfaat kepada perjalanan kongres dan imej parti,” katanya.
Kata Nazree lagi, terdapat beberapa anggota lain yang turut menerima surat tunjuk sebab sepertinya.
Menurutnya, setakat pengetahuannya, semua yang menerima notis itu terdiri daripada kem Azmin, namun menegaskan mereka tidak gentar dengan tindakan tersebut.
Selanjutnya, Nazree bertegas notis tunjuk sebab itu tidak wajar sekali pun yang dikenakan tindakan itu bukan daripada kem Azmin.
“Kita bersedia untuk memberikan respons. Itu bukan satu masalah bagi pihak kami untuk memberikan jawapan.
“Tapi isyarat pertuduhan ini tidak memberikan satu imej yang baik kepada parti. Jadi saya ingat masa akan menentukan. Kalau begini cara kita mengendalikan anak-anak muda dan isu dalam PKR, saya kira PKR akan hilang daya tarik untuk masa depan,” katanya.
Selain itu juga, Nazree turut menyeru agar tindakan diambil terhadap pihak dalam parti yang menjadi dalang kekecohan ketika Kongres PKR itu, sekiranya lembaga disiplin sudah mempunyai bukti mengenainya.
“Tapi saya nampak kumpulan berbaju hitam, tak ada dapat makluman apa-apa. Kita yang kebanyakannya pimpinan yang menang bertanding dalam pemilihan parti pula menjadi sasaran,” katanya.
Tambahnya lagi, mereka yang menerima surat tunjuk sebab dikehendaki memberikan maklum balas dalam masa 14 hari dari tarikh surat itu dikeluarkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai