Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas disekat AS atas dakwaan 'buruh paksa', WRP buka lembaran baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syarikat pembuat sarung tangan Malaysia, WRP Asia Pasific Sdn Bhd yang digantung selepas disekat Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan penggunaan buruh paksa kini kembali memulakan operasinya dengan lembaran baru.

Syarikat itu turut melantik barisan kepemimpinan baru bagi menangani dakwaan-dakwaan terbabit.

"Kami sangat gembira kerana operasi telah dimulakan semula walaupun banyak isu yang dihadapi sewaktu penubuhan lembaga baru itu.

“Ia telah menjadi satu perjalanan yang sukar dari segi penyeliaan pekerja sehingga rundingan dengan syarikat utiliti, namun pencapaian hari ini jelas menunjukkan kerja keras semua pihak yang terlibat,” kata Mathew Thomas Philip, peguam kepada WRP Asia Pacific, dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kilang WRP di Salak Tinggi, akan mula beroperasi dalam kapasiti rendah sehingga Jun, dengan penghasilan dan penjualan sarung tangan klinikal yang "mematuhi piawaian kualiti antarabangsa" ke Eropah, Jepun dan Kanada.

Peguam WRP turut berkata, lembaga pengarah baru WRP yang diketuai oleh firma pengurusan dana TAEL Partners, komited untuk memperbaiki tindakan pengurusan terdahulu yang telah menyebabkan sekatan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS.

Selain itu, wakil perundangan WRP juga berkata, syarikat itu bekerjasaman dengan Impactt Limited, sebuah firma etika perdagangan dan perundingan yang berpangkalan di UK untuk membantu dalam proses tersebut.

Tambahnya dalam tempoh tiga bulan yang lalu, lembaga baru telah melakukan perubahan besar termasuk pelantikan presiden baru untuk memimpin, barisan eksekutif baru untuk memastikan ketelusan yang lebih tinggi, perjanjian untuk menyelesaikan masalah utiliti syarikat untuk mengembalikan kuasa dan bekalan gas serta peningkatan kerja dan persekitaran untuk pekerja WRP.

"Adalah satu penghormatan untuk mendapat keyakinan lembaga dan meskipun beberapa bulan lalu syarikat sibuk dengan perkara yang memerlukan perhatian serta-merta, saya gembira kami telah melepasi fasa pertama bagi memulakan operasi semula.

“Kami masih mempunyai banyak keputusan sukar untuk diambil untuk bergerak ke hadapan dan diharapkan sokongan dari pasukan kerana tiada kemajuan yang dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak,” kata Presiden WRP yang baru dilantik, Leong Wai Leong dalam kenyataan yang sama.