PH pinda perlembagaan, wujudkan jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita
Pakatan Harapan (PH) turut mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) semalam bersempena mesyuarat Majlis Presiden PH yang antara lain membincangkan pindaan perlembagaan parti untuk mewujudkan jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita PH.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita PH buat masa ini tiada dalam undang-undang tubuh PH.
Beliau berkata pada EGM itu, perlembagaan parti dipinda dengan memasukkan fasal 8.3.9 yang menyebut bahawa Majlis Presiden PH boleh melantik seorang ketua Pemuda PH dan seorang ketua Wanita PH daripada kalangan penjawat jawatan ketua Pemuda dan ketua Wanita daripada parti-parti komponen yang dicadangkan oleh sayap Pemuda dan Wanita.
"Ramai yang tidak perasan yang kita berdaftar dengan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) dan malam tadi kita telah menjalankan dengan sempurna mesyuarat EGM PH.
"Ini urusan kita dengan ROS, jadi kita kekalkan kepimpinan serta luluskan penyata kewangan," katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merasmikan Pasar Raya Desa Segar di Southville City, Bangi Selatan.
Mengenai pembukaan Pasar Raya Desa Segar itu, beliau berkata kerajaan menyokong pembukaan perniagaan peruncitan sedemikian yang selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan peruncit berskala kecil dan sederhana bagi memberikan pilihan kepada pengguna.
"Kementerian sentiasa akan membantu pengusaha dan peruncit tempatan dalam memasarkan dan memperluas produk dan perkhidmatan mereka agar mampu menghasilkan produk yang setanding dengan produk luar negara," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai