Skip to main
Logo Malaysiakini

Mesyuarat Bersatu Masjid Tanah nyaris tunda akibat gangguan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemilihan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Masjid Tanah hari ini nyaris ditangguhkan selepas berlaku gangguan pada mesyuarat cawangan Pekan Masjid Tanah.

Kekecohan itu bermula kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika beberapa ahli sayap wanita Bersatu, Srikandi mempersoalkan mereka yang didaftarkan sebelum jam 11.30 pagi, iaitu waktu terakhir sebelum tempoh pendaftaran ditutup.

Bagaimanapun, pemangku pengerusi tetap Mesyuarat Srikandi Cawangan Pekan Masjid Tanah gagal memberi penjelasan mengenai pertikaian ini dan menyebabkan kekecohan berlaku.

Keadaan hingar-bingar itu memaksa Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Melaka, Shamsir Harun campur tangan dengan mengisytiharkan mesyuarat Srikandi, Pemuda Bersatu (Armada) dan cawangan itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang bakal ditentukan kemudian.

Bagaimanapun, beberapa anggota Armada tidak berpuas hati dengan keputusan Shamsir dan mendakwa mesyuarat Armada dan cawangan tersebut perlu diteruskan kerana mereka tidak terbabit dengan gangguan terdahulu pada pemilihan sayap wanita itu.

Shamsir bertegas dengan keputusannya, menyebabkan sekumpulan ahli Armada menyerbu ke arahnya tetapi Shamsir berjaya diiringi kira-kira 10 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk masuk ke dalam dewan itu.

Kekecohan itu menyebabkan mesyuarat 10 lagi cawangan terhenti dan keadaan menjadi tidak menentu apabila Shamsir dikatakan mengadakan mesyuarat dengan JPP untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Sekitar 12.50 tengah hari, Shamsir muncul di atas pentas sebelum mengumumkan bahawa semua mesyuarat dibenarkan diteruskan semula.

Jawatan Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Redzuan Yusof, MP Masjid Tanah dan bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin dan setiausaha bahagian itu, A Lukman Ab Ghani.