Skip to main
Logo Malaysiakini

2 lelaki didenda akibat ugutan jenayah terhadap wartawan TV3

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dua lelaki dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini, selepas mengaku bersalah membuat ugutan jenayah melalui laman sosial Facebook terhadap seorang wartawan penyiaran TV3 bulan lepas.

Majistret Nordiana Abd Aziz memerintahkan Mohd Ariff Fahmi Ab Ghani, 33, membayar denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya jika gagal membayar denda dikenakan manakala Muhammad Muzammer Zamri, 30, didenda RM4,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan yang dibaca berasingan, kedua-dua mereka didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk mencederakan Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, dengan niat menimbulkan rasa takut, dalam laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) pada 1 Januari lepas, antara pukul 10 pagi hingga 3.01 petang.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu ekoran satu video liputan berita yang dibuat oleh mangsa mengenai isu ketiadaan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (Sridi) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu yang dimuat naik dalam laman Facebook Buletin TV3.

Video liputan berita itu telah menjadi tular dan dikongsi di laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original).

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama