Harga Honda naik tak libat situasi semasa industri automotif negara - MOF
Kerajaan hari ini menegaskan bahawa kenaikan harga kereta jenama Honda baru-baru ini tidak melibatkan situasi semasa industri automotif negara.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata kerajaan sentiasa memastikan dasar-dasar percukaian ke atas industri pengeluaran kenderaan pemasangan tempatan (CKD) tidak akan merencatkan perkembangan perniagaan dan meningkatkan harga pasaran kenderaan CKD.
"Rakyat akan sentiasa mendapat manfaat langsung daripada insentif cukai yang dinikmati oleh pengeluar kenderaan CKD melalui harga jualan yang kompetitif serta manfaat tidak langsung melalui peluang-peluang ekonomi yang wujud, selaras dengan hasrat di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020,” menurut MOF dalam kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata tiada perubahan terhadap dasar pengecualian duti eksais atau insentif tersuai di bawah ‘Industrial Linkage’ Programme’ malah keseluruhan industri automotif tempatan tetap stabil.
"Syarikat perlu mematuhi semakan audit dan menepati dasar serta insentif pengecualian duti/cukai yang sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan bertindak adil kepada semua syarikat yang mematuhi asas yang sama dan kriteria yang betul.
"Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif selaku pihak yang menilai dan mengesyorkan kelulusan insentif syarikat masih mengguna pakai kaedah penilaian yang sama tanpa sebarang perubahan. Justeru, kadar pengecualian duti eksais yang dinikmati syarikat Honda pada masa ini adalah wajar dan sepadan dengan tahap lokalisasi sebenar yang telah dicapai oleh syarikat,” menurut MOF.
Kenyataan MOF itu adalah bagi mengulas siaran media yang dibuat oleh syarikat Honda Malaysia pada 21 Feb, Jumaat yang memaklumkan peningkatan harga jualan sebanyak lima peratus hingga sembilan peratus bagi beberapa model dan varian kenderaan keluarannya mulai tarikh itu.
Menurut Honda, kenaikan tersebut adalah kerana syarikat telah menyemak dan meningkatkan pematuhan terhadap insentif pengecualian duti/cukai ke atas kenderaan pengeluaran kenderaan CKD keluarannya, kata MOF.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai