Amanah berpegang pada keputusan Majlis Presiden PH
Amanah akan tetap berpegang kepada keputusan Majis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung kedudukan kerajaan PH.
Pengarah Strategik Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sehingga kini PH masih kekal sebagai kerajaan dan menteri-menteri akan menjalankan tugas seperti biasa.
"Pendirian kita ialah (apa yang dicapai) Majlis Presiden (PH).
"Seperti mana yang ditetapkan dan disebutkan oleh yang berhormat Tun (Dr Mahathir Mohamad) bahawa segalanya telah dibuat keputusan (secara) muafakat dalam mesyuarat PH.
"Kita kembali sandarkan keputusan itu secara sepenuhnya," katanya yang juga menteri kesihatan.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai kedudukan Amanah berikutan berlakunya gerakan penjajaran semula kuasa politi negara dengan perkembangan yang berlaku semalam.
Kata Dzulkefly, apa pun keputusan lanjut yang akan diambil selepas ini, ia akan dimaklumkan kemudian.
Semalam, politik Malaysia dikejutkan dengan usaha menukar kerajaan apabila pemimpin parti politik utama negara - Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan sebahagian pemimpin PKR ke Istana Negara.
Terlebih dulu ia dimulakan dengan mesyuarat Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR yang diketuai oleh timbalan presidennya, Azmin Ali, dan sebelah petang disusuli dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Kemudiaanya pada sebelah malam di sebuah hotel di Petaling Jaya awalnya dijangka ada sidang media bagi mengumumkan pembentukan kerajaan baru.
Bagaimanapun tiada sebarang pengumuman dibuat, sebaliknya pemimpin parti-parti utama datang dan pulang tanpa memberi sebarang kenyataan kepada media, kecuali memberitahu mereka hadir untuk "makan malam" saja.
Presiden PKR Anwar Ibrahim malam tadi menyifatkan perkembangan politik tanah air yang berlaku itu sebagai satu “pengkhianatan”.
Dalam pada itu, Dzulkefly juga ditanya mengenai usaha membentuk kerajaan baru yang membabitkan parti pembangkang termasuk Umno dan PAS.
"Kita wajar menantikan titah dan keputusan daripada Yang di-Pertuan Agong, kita tunggu.
"Apa yang saya faham, kita hari ini masih lagi kerajaan, kita masih menjalan tugas-tugas kami. Selagi tidak ada apa-apa perubahan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai