Annuar Musa: BN sekadar pengimbang demi kestabilan negara
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mempertahankan tindakan BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dengan bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa parti pemerintah.
Dalam beberapa siri tweet hari ini, Annuar berkata BN hanya bertindak sebagai pengimbang demi kestabilan negara ketika Pakatan Harapan mula tumbang.
“Yang bermasaalah itu PH, yang gagal itu PH, yang berpecah itu PH. Blok pembangkang komited mengutamakan apa yang terbaik bagi kepentingan rakyat.
“Negara mesti selamat, stabil dan pimpinan tumpu bekerja untuk rakyat. Kami ketepikan sentimen. Kami hulurkan pengimbang demi kestabilan...,” katanya.
Annuar juga menolak kritikan bahawa pembangkang bakal membentuk kerajaan pintu belakang, sebaliknya berkata sikap “takbur, sombong dan rakus” dalam PH punca gabungan itu runtuh.
Semalam, kumpulan yang menyokong Azmin Ali dalam PKR, BN, PAS, Bersatu, Warisan dan GPS dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong susulan untuk membentuk kerajaan baru yang diketuai oleh Mahathir.
Walau bagaimanapun, tidak ada pengumuman rasmi untuk mengesahkan perkara itu.
“Bila formula kamu runtuh,tiada pintu depan atau belakang. Kami ada pilihan sama ada membakarnya, atau hulur tangan bina baru.
“Kami harus fikir mana terbaik utk rakyat. Pemimpin mau terus sombong dan bercakaran atau kita stabilkan dan bekerja untuk rakyat. Kemudian kita kembali pada rakyat.
“Segalanya berpunca dari sifat takabbur,sombong,dan rakus dalam PH itu sendiri. Usah salahkan orang lain. Jangan lupa, bukan mereka dalam kerajaan saja ada mandat rakyat.
“Bukan LGE (Lim Gun Eng), LKS (Lim Kit Siang), MS (Mohammad Sabu), KS (Khalid Samad), DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) saja!
“ Kami pembangkang juga ada mandat. Kerajaan itu campuran... bukan mutlak mana mana parti!” katanya.
Annuar berhujah bahawa ahli parlimen mewakili rakyat dan bahawa kerajaan yang kehilangan sokongan akan kehilangan legitimasi.
Beliau merujuk kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming, yang mempersoalkan kesahihan pembentukan kerajaan baru itu.
Nga dalam ciapannya berkata bahawa kerajaan pintu belakang tanpa mandat rakyat adalah satu pengkhianatan terhadap negara dan rakyat akan menghukum mereka.
Menteri Amanah, Mujahid Yusof Rawa juga menulis bahawa mandat rakyat hanya boleh diubah pada pilihan raya umum dan bukannya mesyuarat di Sheraton PJ.
"Kamu masih dalam penafian," kata Annuar.
“Bila PH collapse (tumbang), kami pembangkang boleh saja ambil kesempatan. Paksa pilihan raya dan kami berpeluang menguasai semua.
“Tapi belum pun dua tahun rakyat disusahkan dengan PRU. Ini masa berkerja,” katanya.
Menurut Annuar perdana menteri ketika ini memerlukan dokongan dan kestabilan untuk menjalankan tugasnya.
“Menteri PH nak bercakap fasal mandat. Ada mereka fikir untuk beri mandat pada PM mereka. Mereka kutuk, mereka hina, mereka tikam belakang PM mereka.
“Nah sekarang kami beri mandat! Tolong PM teruskan kerja baiki negara, termasuk baiki kerosakan yang kamu lakukan dalam dua tahun kepada ekonomi, pada agama dan lain-lain,” katanya.
Beliau kemudian menggesa pihak-pihak berkenaan untuk memberi gambaran kepada media tentang senario politik terkini untuk mencegah penyebaran berita palsu.
“Saya kesian melihat petugas media dan wartawan..Tertunggu tunggu nak berita.Saya faham ada perkara yg confidential.
“Ada perkara yang jagan beat the gun. Namun berilah media briefing. Rakyat nak tau. Ini hal mereka. Bila semua tutup mulut,berita palsu mengambil tempat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai