Skip to main
Logo Malaysiakini

Tertuduh teruskan permohonan cabar LTTE sebagai pengganas

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemandu teksi V Balamurugan yang dilepas dan dibebaskan daripada lima pertuduhan berkaitan dengan kumpulan LTTE meneruskan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan itu sebagai pengganas pada 2014.

Peguam Matthews Jude yang mewakili Balamurugan selaku pemohon berkata pihaknya meneruskan permohonan tersebut walaupun anak guamnya telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

"Pengisytiharan oleh mahkamah adalah penting untuk menghentikan penyiasatan dan pendakwaan terhadap terhadap mana-mana individu yang menunjukkan simpati kepada LTTE.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk mengarakan menteri untuk mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya hari ini.

Beliau berkata mahkamah juga menetapkan 2 Jun untuk mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan itu.

“Mahkamah memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden memfailkan afidavit pada 24 Mac selepas pihak pemohon memohon untuk melanjutkan masa,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali mewakili kedua-dua responden.

Pada 8 Jan lepas, Balamurugan, 38, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 Nov 2014.

Balamurugam memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah itu tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah 'ultra vires' atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, di Mahkamah Tinggi lain, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Balamurugan atas lima pertuduhan berkaitan LTTE selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap tertuduh.

- Bernama