Skip to main
Logo Malaysiakini

Tinjauan: Separuh responden percaya pada gabungan parti bumiputera

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Susulan kerajaan pelbagai kaum Pakatan Harapan-Warisan hilang majoriti di Dewan Rakyat, muncul spekulasi berkaitan kemungkinan kerajaan baru yang akan terbentuk.

Berdasarkan tinjauan, separuh daripada 1,000 responden rakyat Malaysia, percaya masa depan akan lebih cerah jika kerajaan baru terbentuk daripada semua parti bumiputera.

Ini berdasarkan kaji selidik firma penyelidikan Vase.ai, mengenai keadaan politik semasa.

Ditanya sama ada gabungan semua parti bumiputera boleh mewujudkan kerajaan yang lebih baik, 50 peratus responden berkata ya, 25 peratus mengatakan tidak.

Yang lain tidak pasti.

Bagi menentukan siapa yang termasuk dalam gabungan bumiputera ini tidak begitu mudah.

Daripada kalangan yang memegang kerusi di parlimen, parti bumiputera yang memegang kerusi yang banyak ialah Bersatu (26 kerusi), Umno (39 kerusi), dan PBB (13 kerusi).

PAS (18 kerusi), yang terbuka kepada semua umat Islam termasuk bukan bumiputera, mempunyai keanggotaan bumiputera yang besar.

Amanah (11 kerusi) sebahagian besarnya terdiri daripada bumiputera Islam tetapi 15 peratus daripada ahli-ahlinya adalah bukan Islam, ada yang bukan bumiputera.

Terdapat juga parti lain yang mewakili hak Sabah dan Sarawak, yang juga mempunyai ahli bukan bumiputera, seperti Warisan (9 kerusi).

 

Pakatan yang terdiri daripada kebanyakannya parti bumiputera Umno, Bersatu, PBB, PAS dan Amanah  akan memperoleh 107 kerusi, iaitu kurang lima kerusi untuk memperoleh majoriti.

Pakatan itu boleh memperoleh majoriti dengan sokongan 11 ahli parlimen yang meninggalkan PKR semalam. Hanya satu daripada ahli parlimen berkenaan, Edmund Santhara (Segamat), yang bukan bumiputera.

Bagaimanapun, PBB dan Amanah dilihat agak sukar untuk bergabung dengan pakatan itu kerana perbezaan ideologi dengan PAS.

Tanpa parti Sabah dan Sarawak, jumlah itu menurun kepada 108 kerusi, empat kerusi yang menjadikan majoriti mudah.

Tinjauan Vase.ai itu dijalankan atas talian terhadap 1,000 rakyat Malaysia yang mencerminkan demografi negara.

Ia dijalankan antara jam 5 hingga 8 petang semalam, selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Bersatu serta 11 ahli parlimen PKR meninggalkan gabungan itu.

Firma itu mendapatkan sampel responden yang mencapai sehingga 300,000 responden di Malaysia.

Selepas peletakan jawatannya, Agong telah melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim, dengan pelbagai parti dari kedua-dua belah pihak telah memberikan sokongan terhadap kepemimpinannya.

Bagaimanapun, apabila ditanya siapa yang sepatutnya menjadi perdana menteri, nama yang paling kerap disebut oleh responden ialah presiden PKR, Anwar Ibrahim.

PKR masih belum mendedahkan pendiriannya sama ada ia akan menyokong Mahathir sebagai PM, dan sebelum ini telah memaksa beliau untuk menetapkan tarikh peletakan jawatannya.

Nama lain yang paling banyak disebut adalah Mahathir, bekas pemimpin PKR, Azmin Ali dan Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan timbalan perdana menteri ketika dalam kabinet di bawah Mahathir dan juga isteri kepada Anwar.