Skip to main
Logo Malaysiakini

Program, aktiviti kementerian berjalan seperti biasa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Program dan aktiviti yang telah dirancang kementerian-kementerian berlangsung seperti yang dijadualkan hari ini walaupun tanpa kehadiran menteri atau timbalan menteri berikutan pembatalan pelantikan anggota pentadbiran susulan peletakan jawatan Perdana Menteri.

Perhimpunan bulanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mengikut jemputan awal akan dihadiri Raja Kamarul Bahrin Shah, selaku timbalan menteri ketika itu, hari ini dirasmikan Ketua Setiausaha kementerian Mohammad Mentek.

"Business as usual dan segala program akan diteruskan sebagaimana yang dirancangkan," kata Mohammad kepada Bernama ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di KPKT di sini.

Majlis perkhidmatan cemerlang Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) (sesi dua) pula yang mengikut jemputan asal akan dirasmikan menterinya Rina Mohd Harun pula disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu Che Murad Sayang Ramjan.

Perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang mengikut jadual asal akan dirasmikan oleh menterinya Saifuddin Nasution Ismail, turut berlangsung dengan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian Hasnol Zam Zam Ahmad.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Mohd Zuki Ali semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, menurut Mohd Zuki tugas-tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik adalah terhenti pada tarikh yang sama.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.

Negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei, 2018 selepas Pakatan Harapan yang diterajuinya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohd Zuki semalam juga memaklumkan Seri Paduka telah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.

Mohd Zuki dalam hantaran dalam laman twitter berkata satu mesyuarat khas bersama ketua-ketua setiausaha kementerian telah diadakan hari ini bagi meneruskan khidmat seperti biasa untuk kelangsungan perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar sedia ada untuk rakyat dan negara.

-Bernama