Misi kedua bawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan diteruskan
Misi kedua bagi membawa pulang 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China, susulan wabak Covid-19 di negara itu tetap akan dilaksanakan meskipun kemelut politik melanda negara.
Menurut jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pesawat khas AirAsia akan membawa pulang kesemua mereka dan penerbangan dari Wuhan dijangka tiba esok (26 Feb) pukul 6.00 pagi.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata Kementerian Luar dan Nadma dengan kerjasama AirAsia sedang menguruskan butiran mengenai misi kedua berkenaan.
Wan Azizah berkata, sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semua penumpang akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.
Misi yang pertama digerakkan kerajaan Malaysia pada 4 Feb lepas berjaya membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.
Dalam pada itu, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama berkata persiapan bagi membawa pulang semua penumpang sedang berjalan lancar dengan pihak kedutaan Malaysia sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa China berhubung misi kedua ini.
“Kebenaran telah diperoleh... masih terdapat beberapa isu yang membabitkan segolongan kecil namun advance team dari kedutaan sedang berbincang dengan pegawai pihak berkuasa tempatan.
“Ada sejumlah kecil kes pemandu (kenderaan) enggan membawa mereka (penumpang) di saat-saat akhir. Penumpang sedang mencari pengganti,” katanya menerusi mesej WhatsApp.
Katanya, hanya dua pegawai kedutaan yang ‘turun padang’ ke Wuhan bagi membantu misi kedua ini memandangkan advance team misi pertama telah menyediakan landasan kukuh bagi misi kedua.
Beliau turut menjelaskan penerbangan khas itu dijangka bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada 1.00 pagi (26 Feb) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi hari yang sama.
Dalam pada itu, maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan seramai 21 pegawai dari lima agensi turut serta dalam misi ini melibatkan seorang dari Nadma, Kementerian Luar (1), KKM (6), Jabatan Imigresen (1) dan AirAsia (12).
KKM dalam satu kenyataan semalam berkata jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia kekal 22 kes, dan 20 orang telah pulih setakat ini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai