Skip to main
Logo Malaysiakini

GPS tegaskan sokongan pada Dr M, tapi tak dedahkan syarat pakatan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengumumkan bahawa pendirian mereka untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tidak berubah.

"Pendirian GPS adalah menyokong sepenuhnya Mahathir untuk terus menerajui kepemimpinan negara.

"Sokongan itu telah disampaikan secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Mahathir pada hari Ahad, 23 Feb oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg selaku pengerusi GPS.

"Ketua Menteri Sarawak telah menerima mandat sebulat suara daripada Majlis Kepemimpinan Tertinggi GPS dan kesemua Ahli Parlimen GPS menyokong Mahathir untuk memimpin Malaysia demi kepentingan negara," kata Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini.

Sokongan yang dikemukakan GPS pada hari Ahad adalah untuk mewujudkan satu gabungan baru yang terdiri daripada 11 ahli parlimen yang meninggalkan PKR, Bersatu, BN, PAS, GPS dan Warisan dengan Mahathir masih sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, Mahathir dilihat tidak bersetuju dengan penjajaran kuasa itu dan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Beliau kini dilantik sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pembentukan sebuah kerajaan baru.

Yang Di-Pertuan Agong kini menemu bual semua ahli parlimen untuk menentukan sokongan mereka sebelum melantik perdana menteri yang kemudiannya akan membentuk kerajaan.

Kenyataan GPS hari ini tidak memberi gambaran sama ada ia bersedia untuk mengambil bahagian dalam pakatan yang berbeza daripada apa yang pada mulanya dicadangkan pada hari Ahad.

Pemimpin GPS telah mengambil pendirian berbeza, dengan sesetengahnya menyatakan bahawa mereka tidak akan memihak kepada gabungan yang melibatkan PAS, manakala yang lain mengatakan mereka tidak mahu bekerjasama dalam gabungan melibatkan DAP.