Skip to main
Logo Malaysiakini

Protes VC di majlis konvokesyen: Graduan UM didakwa di mahkamah esok

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke akan didakwa berhubung protes terhadap naib canselor yang dilakukannya pada majlis konvokesyen tahun lalu.

Bekas aktivis pelajar tersebut berkata kepada Malaysiakini, dia mendapat panggilan dari pihak polis yang memberitahu pertuduhan tersebut akan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Wong dikatakan akan didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menggugat keamanan.

Dakwaan tersebut membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Sejak saya disoal siasat pada Oktober 2019, tiada tindakan susulan telah diambil. Tetapi kini, mereka akan mengemukakan tuduhan, ini amat mengecewakan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang lain, bekas Presiden Universiti Malaya Association of New Youth (Umany) itu berkata pertuduhan tersebut bertujuan untuk membungkam dan menakutkan pihak yang membuat bantahan.

Wong yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan pada ketika itu, melaungkan “Tolak rasis. Undur VC” sambil memegang plakad sewaktu upacara penyampaian skrol ijazahnya.

Plakad tersebut turut menyenaraikan sebab Naib Canselor Abdul Rahim Hashim patut meletakkan jawatan.

Salah satu sebab yang dilaungkan oleh Wong adalah menurutnya, Rahim dikatakan bersifat rasis, mencabul kebebasan akademik, berkhidmat sebagai ‘boneka politik’ dan gagal dalam menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Wong kemudiannya menambah bahawa sebahagian daripada protes itu adalah mengenai ucapan Rahim yang berbaur perkauman sewaktu Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Rahim dalam ucapannya di kongres berkenaan berkata bahawa perubahan dalam kerajaan selepas PRU ke-14 telah melenyapkan dominasi ahli politik Melayu.

Selain itu, Rahim juga turut memberikan amaran supaya kontrak sosial sedia ada tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Pihak universiti kemudiannya mengecam tindakan Wong dan memfailkan laporan polis dengan kenyataan bahawa walaupun mereka menyokong kebebasan bersuara, tindakan tersebut dikatakan tidak menghormati majlis graduasi dan mencemar nama baik UM.