Skip to main
Logo Malaysiakini

Pilihan raya umum lebih sesuai, kata presiden MIC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata bahawa penubuhan kerajaan perpaduan tidak akan menyelesaikan situasi ketidaktentuan politik semasa.

Sebaliknya, beliau berkata situasi politik semasa hanya dapat diselesaikan melalui pilihan raya umum (PRU).

"Kemelut politik yang berlaku sekarang adalah kerana perebutan kuasa antara pemimpin PH. Mereka tidak perlu tuduh yang lain kerana sikap tamak kuasa yang menjadi punca keruntuhan kerajaan.

"Namun, saya percaya keadaan semasa politik negara ini akan membentuk kerajaan perpaduan. Dan kerajaan sebegitu saya bimbang sistem semak dan imbang tidak akan wujud.

"Sebaliknya, membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum yang baru lebih sesuai. Biar rakyat memilih kerajaan pilihan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vigneswaran berkata demikian ketika mengulas situasi politik semasa selepas kerajaan PH tumbang, ekoran parti Bersatu menarik diri daripada gabungan itu, selain 11 ahli parlimen PKR yang diketuai Mohamed Azmin Ali.

Selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim semalam.

Mengulas lanjut, Vigenswaran berkata, penting untuk sesebuah negara mempunyai dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

"Tetapi, sekiranya mereka wujudkan kerajaan perpaduan atau kerajaan uniti maka itu bermaksud tiada kerajaan dan tiada pembangkang," katanya.

Speaker Dewan Negara itu juga berpendapat bahawa Yang di-Pertua Agong membuat keputusan tepat dengan melantik Mahathir sebagai perdana menteri interim.

"Saya anggap Agong membuat keputusan wajar dan bijaksana dalam melantik perdana menteri interim meskipun fasal tersebut tiada dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerana situasi yang melanda negara sekarang ini, di mana buat pertama kali seorang perdana menteri letak jawatan dan kerajaan hilang majoriti, dan dalam ketiadaan fasal tersebut, untuk situasi ini adalah tepat bagi Agong membuat keputusan melantik perdana menteri interim menggunakan kuasa sebagai pemerintah negara iaitu 'inherent powers' .

"Nasib baik kita ada institusi Raja-raja Melayu. Pada masa kini baru semua orang faham betapa mustahaknya kita ada institusi tersebut untuk memastikan negara kita boleh ditadbir walaupun kita ada krisis sebegini,” katanya.

"Namun, lantikan interim ini tidak boleh berlanjutan. Dan wakil rakyat yang mempunyai sokongan majoriti di parlimen perlu mengadap Agong supaya baginda boleh melantik perdana menteri baru," katanya lagi.

Beliau berpendapat bahawa Mahathir sebagai perdana menteri interim tidak sesuai untuk membuat mana-mana lantikan kerana kemungkinan ia akan dicabar di mahkamah.

"Kemungkinan juga akan ada orang membuat himpunan seperti Bersih dan mungkin akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan juga menjejaskan ekonomi negara," tambahnya lagi.