Skip to main
Logo Malaysiakini

Timbalan menteri kesihatan Iran positif Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi, mengumumkan dia disahkan positif Covid-19, menurut video yang dimuat naik ke laman sosialnya semalam.

Harirchi telah menjalankan proses kuarantin sendiri sejurus selepas dia disahkan positif wabak Covid-19 dan menggesa rakyat Iran untuk tidak panik, menurut laporan The Guardian.

“Saya hendak umumkan saya kena korona,” kata Harirchi.

“Semalam saya demam. Malam tadi keputusan sampai positif. Saya asingkan diri sendiri. Sebentar tadi, saya dimaklumkan keputusan akhir pun sampai.

“Saya sudah mula ambil ubat. Secara umumnya saya sihat. Cuma sedikit penat. Saya deman dan ia akan kebah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Harirchi batuk-batuk, pucat dan berpeluh sewaktu sidang media mengenai situasi penularan wabak Covid-19 di Iran.

Sementara itu, Harirchi turut memberi amaran ramai rakyat Iran berpotensi untuk dijangkiti wabak tersebut.

“Jaga kesihatan. Wabak ini tidak membezakan antara yang kaya atau miskin, ahli politik ataupun rakyat biasa,” jelas Harirchi.

Iran mengesahkan tiga lagi kematian akibat Covid-19 dan 34 kes jangkitan baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban kepada 15 orang dan 95 mangsa dijangkiti.