Skip to main
Logo Malaysiakini

Suaram bidas pertuduhan 'tak masuk akal' terhadap graduan UM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Suaram membidas keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa graduan Universiti Malaya (UM) Wong Yan berhubung isu protes terhadap naib canselor pada majlis konvokesyen tahun lalu.

Kumpulan hak asasi manusia itu juga mengkritik hujah pendakwa raya ketika prosiding ikat jamin sebagai "tidak masuk akal".

"Dalam institusi akademik yang macam mana seorang graduan tahu seorang naib canselor dengan mudah diprovokasi oleh pelakad dan dikatakan melakukan kesalahan?" kata Sevan berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Sevan juga mengkritik pendakwa raya Mohd Saphian Zakaria, yang menggesa Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk menetapkan ikat jamin RM10,000 atas alasan bahawa kes itu melibatkan kepentingan awam dan ia sebagai peringatan.

"Kedua-dua dakwaan itu tidak masuk akal kerana tiada kepentingan umum terlibat dalam menyekat protes aman dan begitu juga sistem ikat jamin untuk menghukum atau sebagai peringatan.

"Seorang pendakwa raya yang tidak mempunyai konsep kepentingan awam atau peranan jaminan dalam sistem keadilan jenayah tidak seharusnya berada dalam kedudukan apa pun bagi pihak mana-mana jabatan kerana pertimbangan mereka hanya akan memalukan AGC dan menyebabkan kemudaratan awam," katanya.

Justeru, beliau menggesa AGC untuk menarik balik kes terhadap Wong dan memastikan "pendakwaan yang tidak masuk akal itu" tidak berulang.

Wong yang merupakan pelajar jurusan kejuruteraan pada ketika itu, melaungkan “Tolak rasis. Undur VC” sambil memegang plakad sewaktu upacara penyampaian skrol ijazahnya.

Plakad tersebut turut menyenaraikan sebab Naib Canselor Abdul Rahim Hashim patut meletakkan jawatan.

Salah satu sebab yang dilaungkan oleh Wong adalah menurutnya, Rahim dikatakan bersifat rasis, mencabul kebebasan akademik, berkhidmat sebagai ‘boneka politik’ dan gagal dalam menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Wong kemudiannya menambah bahawa sebahagian daripada protes itu adalah mengenai ucapan Rahim yang berbaur perkauman sewaktu Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Rahim dalam ucapannya di kongres berkenaan berkata bahawa perubahan dalam kerajaan selepas PRU ke-14 telah melenyapkan dominasi ahli politik Melayu.

Selain itu, Rahim juga turut memberikan amaran supaya kontrak sosial sedia ada tidak dicabar oleh mana-mana pihak.

Pihak universiti kemudiannya mengecam tindakan Wong dan memfailkan laporan polis dengan kenyataan bahawa walaupun mereka menyokong kebebasan bersuara, tindakan tersebut dikatakan tidak menghormati majlis graduasi dan mencemar nama baik UM.