Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahathir jumpa semua MP dari Bersatu esok

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri interim dan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dijangka bertemu semua anggota parlimen dari partinya, esok.

Bercakap kepada Malaysiakini, sumber mengesahkan mesyuarat itu akan diadakan di Yayasan Al Bukhary pada jam 10 pagi.

"Tun telah meminta semua anggota parlimen Bersatu untuk bertemu dengannya esok," kata sumber itu.

Adalah dipercayai Dr Mahathir akan membincangkan calon parti itu bagi jawatan perdana menteri dan pembentukan kerajaan baru.

Bersatu mempunyai seramai 26 anggota parlimen daripada 222 kerusi parlimen.

Walaupun Mahathir mendapat sokongan dari GPS, Warisan, kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan partinya sendiri, ia masih tidak mencukupi untuk beliau menguasai majoriti di Dewan Rakyat.

Ini terutamanya selepas BN dan PAS menarik balik sokongan mereka terhadap beliau.

Dalam sidang akhbar awal hari ini, Dr Mahathir berkata Bersatu mungkin mencalonkan presidennya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri akan datang.

Mahathir juga menegaskan parti itu tidak membincangkan sama ada mereka akan mencalonkan Muhyiddin atau beliau sendiri untuk memegang jawatan itu.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada 26 Feb lalu, Mahathir menjelaskan beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana tidak dapat menerima Umno sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Mahathir juga berkata sekiranya mendapat sokongan beliau berhasrat untuk menubuhkan kerajaan tanpa memihak kepada mana-mana parti.

Bersatu, bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan kumpulannya, GPS dan Warisan telah menyatakan sokongan terhadap Mahathir sebagai perdana menteri.

Awal hari ini Mahathir berkata Dewan Rakyat akan mengadakan sidang khas pada 2 Mac untuk menentukan kerajaan baru.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH berpendapat Mahathir tidak wajar mendahului Yang di-Pertuan Agong dengan memanggil sidang khas berkenaan.