Skip to main
Logo Malaysiakini

SU Agung PKR: Tiada adun, anggota MPP keluar parti setakat ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setakat ini tiada adun dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang meninggalkan parti itu, susulan tindakan 11 anggota parlimen diketuai Azmin Ali yang keluar dari PKR Isnin lalu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agun PKR Saifuddin Nasution Ismail.

"Tidak ada keluar sehingga kini. Saya juga tidak menerima sebarang surat letak jawatan daripada Adun atau ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan tindakan kumpulan Azmin akan disusuli oleh sejumlah wakil rakyat dan pemimpin PKR.

Terdahulu, Azmin bersama-sama 10 anggota parlimen - Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat) Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau) - keluar PKR dan menjadi blok bebas di Dewan Rakyat.

Ia sebaik selepas PKR mengumumkan pemecatan Azmin dan Zuraida susulan himpunan bersama anggota parlimen pembangkang di Hotel Sheraton Petaling Jaya sehari sebelumnya.

Bagaimanapun Jonathan Yasin semalam menafikan beliau telah keluar PKR dan berkata akan memberi penjelasan kepada pimpinan PKR.

Pada 26 Februari lalu, tiga ketua cabang PKR Kelantan - Ab Aziz Ab Kadir (Ketereh), Hafizan Nazir (Rantau Panjang) dan Nor Hanazalmah Yusof (Kubang Kerian) - mengumumkan keluar parti.

Ab Aziz, yang dilihat sebagai penyokong Azmin, berkata mereka disertai 300 anggota PKR Kelantan, dan akan disusuli kira-kira 10,000 anggota lagi.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata ia sudah dijangkakan dan langkah keluar parti itu akan terus dilakukan penyokong Azmin di setiap negeri.

"Ab Aziz pernah jadi pengerusi majlis pimpinan negeri Kelantan dalam tempoh panjang, dan jumlah anggota ketika itu ialah 10,000 orang. Selepas dia diganti Supardi Mohd Nor, kegiatan parti bertambah rancak dengan kemasukan anggota baru meningkat pada 55,602 orang.

"Pengajaran daripada episod ini ialah parti akan kuat apabila pimpinan membina kesetiaan kepada parti dan bukan membina empayar pengaruh peribadi. Aziz dan rakan-rakannya memberi kesetian kepada Azmin dan Zuraida, bukannya parti," katanya lagi.