Skip to main
Logo Malaysiakini

Mitos kerajaan perpaduan Mahathir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Idea Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa parti politik kedengaran sangat ideal tetapi langsung tidak pragmatik.

Dengan menggunakan istilah rekonsiliasi dan pensejajaran semula politik Malaysia, Mahathir sedang melunakkan rakyat daripada kemungkiran pelan peralihan kuasa yang dipersetujuinya dua tahun lalu dan pengkhianatan Bersatu daripada gabungan Pakatan Harapan minggu lalu.

Idea kerajaan perpaduan sebenarnya bukan mengikut pelan asal Ahad lalu, sebaliknya pelan kecemasan hari Rabu selepas Mahathir muncul di kaca televisyen untuk memecahkan kebingungan rakyat Malaysia.

Ia selepas Mahathir gagal mendapat sokongan yang diikrarkan sebelum ini daripada blok pembangkang terbesar iaitu BN dengan 42 ahli parlimen dan rakan kongsi barunya PAS (18) melalui Muafakat Nasional (MN) untuk terus berkuasa sehingga akhir penggal.

Bersatu dengan 26 ahli parlimen hanya mendapat sokongan PKR (11) yang berpaling tadah dan Warisan (9) sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan 18 ahli parlimen bersedia menyokong mana-mana kerajaan baharu yang memperkasakan Perjanjian Malaysia 1963.

Anwar Ibrahim, pengganti yang sepatutnya kini kembali menjadi pesaing Mahathir mendahului dengan sekurang-kurangnya 92 sokongan penuh daripada PH.

Dalam usia 95 tahun, kerajaan perpaduan bukan idea baru Mahathir sebaliknya dipelajari 47 tahun dahulu daripada mentornya Tun Abdul Razak Hussein yang berjaya menformulasi semula Parti Perikatan Umno-MCA-MIC menjadi jenama baharu BN dengan tambahan enam parti gabungan pada 1974.

Perikatan yang memerintah sejak kemerdekaan menjadi lemah pada PRU 1969 dan bertambah parah dengan insiden rusuhan kamu 13 Mei beberapa hari kemudian. Undi popular Perikatan turun kepada 49.3 peratus dan 66 kerusi di Dewan Rakyat.

Parti pembangkang meraih 49 kerusi dan mendapat 50.7 peratus undi popular. Perikatan kalah teruk kepada PAS di Kelantan dan Gerakan di Pulau Pinang selain nyaris kalah dengan PPP di Perak.

Perikatan walau pun selesa dengan majoriti mudah tetapi dengan kebijaksanaan Tun Razak berjaya memujuk parti-parti pembangkang termasuk Gerakan, PPP dan PAS.

Jika DAP turut menyertai BN pada masa itu maka rekod tercipta sebagai parti kerajaan tanpa pembangkang di semenanjung.

Hasilnya pada PRU berikutnya 1974, BN berjaya memperbaiki rekod buruk 1969 dengan kemenangan paling besar sejak merdeka dengan mendapat 135 daripada 154 kerusi Dewan Rakyat.

Tun Razak berjaya membawa idea kerajaan perpaduan kerana Perikatan masih kerajaan majoriti dan keadaan pasca 13 Mei memerlukan politik perpaduan yang menyatukan rakyat.

Ironisnya kerajaan perpaduan Mahathir dari blok ketiga yang keluar daripada kerajaan majoriti, sebenarnya membawa politik polarisasi dengan menggunakan sentimen Melayu dan Islam yang kini dijuarai oleh Umno dan PAS.

Selepas Tun Razak, idea kerajaan perpaduan pernah dibawakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada 2009 selepas gabungan baharu pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) membuat kejutan merampas Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang untuk mengimbangi kepentingan Melayu dan Islam.

Idea kerajaan perpaduan Hadi adalah lebih jelas dengan model kerajaan tanpa pembangkang melalui empat pendekatan iaitu perkongsian kuasa antara BN dan PR di peringkat persekutuan.

Setiap kementerian dikuasai secara bersama dengan dasar ditentukan melalui politik muafakat, kedudukan PR bukan di bawah penguasaan BN tetapi setaraf sebagai rakan kongsi dan parti kerajaan bersama-sama parti pembangkang akan membentuk pasukan pemerintahan dalam mengurus pentadbiran.

Namun sama seperti kedudukan Bersatu di dalam PH, PAS sebagai sebagai parti terkecil dalam blok pembangkang gagal meyakinkan PKR dan DAP dengan idea kerajaan perpaduan seperti dibawa oleh Tun Razak di Malaysia dan Presiden BJ Habibie di Indonesia.

PM Najib Razak sendiri di penghujung populariti BN selepas PRU 2013 turut menawarkan rekonsiliasi nasional tetapi ditolak pembangkang.

Kajian terbaru EMIR Research Disember lalu mendapati tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan PH menurun kepada 41 peratus tetapi lebih sedikit berbanding MN dengan 38 peratus dan memperlihatkan potensi kebangkitan blok kuasa ketiga apabila parti bebas mendapat 17 peratus.

Persoalannya bagaimana Bersatu sebagai blok ketiga boleh dominasi PH dan MN serta menjamin kestabilan kerajaan?

Untuk itu, idea sebaik kerajaan perpaduan lebih ideal jika diusulkan oleh Anwar sebagai mewakili gabungan parti terbesar yang sebelum ini membentuk kerajaan atau oleh Zahid Hamidi sebagai mewakili blok pembangkang terbesar dan bukan datang daripada Mahathir atau Muhyiddin Yassin yang terdesak untuk terus berkuasa.

Dinamika politik Malaysia pernah bergerak dari kerajaan majoriti dua pertiga kepada kerajaan majoriti mudah dan kini tertibnya kelihatan ke arah kerajaan campuran atau kerajaan minoriti di mana sepatutnya parti dengan sokongan terbanyak membentuk kerajaan.

Kerajaan campuran sebegini sudah biasa di Malaysia Timur tetapi kerajaan minoriti mungkin sesuatu yang baru untuk negara.

Sebagai negara Komanwel dengan merujuk kepada amalan demokrasi Westminster, kerajaan minoriti sebenarnya sudah menjadi amalan biasa di United Kingdom sejak 1900.

Malah banyak negara maju berdemokrasi mempunyai kerajaan minoriti seperti Belgium, Canada, Croatia, Czech, Denmark, Ireland, Netherlands, New Zealand, Norway, Portugal, Romania, Slovenia, Sepanyol dan Sweden.

Contoh paling menarik ialah kerajaan minoriti di Denmark yang hampir tidak pernah punyai kerajaan majoriti sejak 1982.

Namun kerajaan minoriti yang bersilih ganti itu mampu mereformasi ekonomi tanpa sebarang masalah di parlimen. Tahun 1982 itu bersamaan ulang tahun pertama Mahathir jadi PM pada usia 57 tahun.

Kerajaan campuran atau kerajaan minoriti memang ada kelemahan tapi seperti kata PM British, Sir Winston Churchill, “Demokrasi adalah satu cara pemerintahan yang paling buruk tetapi tidak ada satu cara pemerintahan lain yang lebih baik daripada itu.”

Oleh itu, mitos kerajaan perpaduan Mahathir hanya boleh disangkal dengan jawaban Zaid Ibrahim dalam temubual dengan Bridget Welsh pada 2013, “Tidak ada perubahan menyeluruh dapat dibuat dalam politik dan pentadbiran selagi Mahathir masih hidup.”

Rakyat Malaysia telah memberi Mahathir peluang selama 22 tahun dan tambahan dua tahun. Mahathir mungkin betul pada kali pertama dan kali kedua tapi bukan sentiasa betul – dulu, kini, selamanya.

Untuk kali ketiga, rakyat berhak untuk menolak uji kaji demokrasi dengan kerajaan perpaduan, rekonsiliasi, pensejajaran atau apa sahaja nama “terpulang kepada saya (Mahathir)” seperti sikap sinisnya.


FAIZAL RIDUAN ialah perunding dasar dan polisi awam yang mengharapkan perpaduan Mahathir dan Anwar selepas mereka bermusuh lebih 20 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.