Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketika kita sibuk dengan ‘Langkah Sheraton’, Covid-19 tular di seluruh dunia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketika Covid-19 dikesan pertama kali di Malaysia pada awal Januari lalu, rakyat negara Malaysia menuntut tindakan segera dan tegas dilaksanakan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu, yang berdepan dengan tekanan oleh rakyat, mengumumkan sekatan perjalanan ke atas pelawat dari wilayah Hubei dan bandar Wuhan, lokasi wabak tersebut dipercayai bermula.

Sekatan itu kemudiannya diperluas ke wilayah Zhejiang dan Jiangsu di China.

Di sebalik kritikan, kerajaan dikatakan mengambil langkah bijak dalam mengekang penularan wabak itu dengan hanya 22 kes dicatatkan sehingga Ahad lalu dengan semuanya pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, perhatian rakyat dialih daripada krisis global itu kepada ‘Langkah Sheraton’ di Petaling Jaya pada Ahad lalu, yang menyaksikan parti-parti daripada kedua-dua pihak - pembangkang dan kerajaan - cuba menjatuhkan kerajaan PH dan menggantikannya dengan pakatan baharu, Perikatan Nasional.

Cubaan rampasan kuasa yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’ tersebut tidak berjaya membentuk kerajaan Perikatan Nasional, sebaliknya berjaya menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Selepas lima hari, ‘Langkah Sheraton’ masih belum berkesudahan dan Malaysia masih tidak mempunyai kerajaan.

Dalam tempoh enam hari pergolakan politik itu, Covid-19 terus merebak dengan pantas dan menyebabkan beberapa kerajaan dunia mulai terkesan kerana tidak dapat membendungnya.

Ketika ahli-ahli politik negara berkonspirasi dan berkumpul di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada Ahad lalu, Korea Selatan mencatatkan 433 kes Covid-19 sementara Itali dan Iran masing-masing mempunyai 66 dan 29 kes.

Hari ini, jumlah kes di Korea Selatan meningkat hampir lima kali ganda kepada 2,022 orang, manakala di Itali dan Iran kes itu meningkat hampir sepuluh kali ganda dengan masing-masing sebanyak 650 dan 245 kes.

Virus itu sebelum ini melumpuhkan China. Sekatan dan langkah kuarantin dikuatkuasakan di keseluruhan bandar itu mengganggu pengeluaran rantaian bekalan dan menyebabkan ekonomi China terjejas teruk.

Covid-19 kini menular di seluruh benua kecuali Antartika

Selepas lebih 78,000 kes dan hampir 2,800 kematian di seluruh negara, China akhirnya menunjukkan sedikit kawalan untuk mengurangkan epidemik tersebut apabila jumlah kes yang baru semakin berkurangan.

Namun, negara-negara lain pula sedang menghadapi risiko pengalaman menyedihkan sama seperti yang pernah dilalui oleh China.

Itali dilihat sebagai pusat penyebaran utama wabak tersebut di Eropah.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron semalam memberi amaran Eropah menghampiri epidemik Covid-19 apabila jumlah kes di Perancis meningkat tiga kali ganda daripada 12 ke 38 sejak Ahad lalu.

Sementara itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengesahkan bahawa negara itu mempunyai pesakit Covid-19 yang tidak diketahui asalnya.

Pesakit yang tidak diketahui asalnya bermaksud pihak berkuasa tidak tahu dari mana pesakit berkenaan mendapat virus tersebut, kerana dia tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh koronavirus atau berhubung dengan pesakit Covid-19 yang lain

Ini bermakna wabak tersebut telahpun mula tersebar melalui komuniti tertentu di AS tanpa disedari oleh kakitangan jabatan kesihatan. Jumlah kes di AS meningkat hampir 2 kali ganda daripada 35 ke 60 sejak Ahad lalu.

Sepanjang enam hari lalu itu, rakyat Malaysia diganggu dengan Langkah Sheraton, wabak Covid-19 telahpun merebak ke 22 negara lain, menjadikan jumlah negara dan kawasan yang terlibat sebanyak 55.

Di Malaysia, tiga kes baharu dicatatkan sepanjang 24 jam lalu, menjadikan jumlah kes sebanyak 25.

Ini termasuk seorang wanita tempatan berusia 53 tahun yang berkunjung ke Jepun baru-baru ini, seorang warga Jepun yang ke negara itu bulan lalu dan Indonesia bulan ini, serta warga Itali yang baru sahaja kembali daripada urusan kerja di negara berkenaan.

Peningkatan risiko dari negara-negara yang terkesan dengan Covid-19

Ketika wabak tersebut berada dalam keadaan terkawal di Malaysia, kes-kes terbaru menunjukkan peningkatan risiko yang perlu Malaysia hadapi apabila jumlah negara yang terlibat semakin meningkat.

Kesemua kes-kes terdahulu di Malaysia boleh dijejaki dari Singapura dan China. Kini, ditambah pula dengan Jepun, Itali dan Indonesia.

Dengan ketiadaan menteri kesihatan, Malaysiakini menghubungi jabatan komunikasi daripada pelbagai agensi yang terlibat dengan kawalan wabak Covid-19 mengenai peningkatan risiko oleh negara-negara lain tetapi dirujuk dari satu jabatan ke jabatan lain.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meminta perkara itu dirujuk ke Kementerian Luar Negeri, namun Kementerian Luar Negeri mencadangkan supaya menunggu pengumuman dari Kementerian Kesihatan, sementara Kementerian Kesihatan pula mengatakan ini adalah urusan bagi Nadma dan Kementerian Luar Negeri.

Apabila dihubungi mengenai kemungkinan untuk memperluas larangan perjalanan ke kawasan-kawasan tertentu di negara-negara lain yang terjejas teruk oleh Covid-19 seperti Korea Selatan, Itali dan Iran, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata: "Kami pantau rapat dan nasihat perjalanan kesihatan telah diberi."

"Walaupun kami terus memperketat saringan dan pengawasan dalam semua kemasukan antarabangsa, orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti mencuci tangan dengan kerap dan menjaga kebersihan diri dengan baik," katanya kepada Malaysiakini.

Noor Hisham menambah keputusan selanjutnya akan dibuat tepat pada waktunya.

Noor Hisham kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengumumkan larangan perjalanan pelawat dari Korea Selatan dan memberi amaran kepada orang ramai terhadap kawasan-kawasan lawatan yang terjejas teruk oleh Covid-19 di China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

Semalam, Perdana Menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad melancarkan rancangan rangsangan ekonomi RM 20 bilion untuk membantu Malaysia mengurangkan kesan Covid-19.

Dalam ucapannya, Mahathir berkata Malaysia sebelum ini mengalami keadaan yang sama semasa Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) yang memperlahankan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia tetapi pulih selepas suntikan pakej rangsangan ekonomi.

"Insya-Allah, rangsangan ekonomi 2020 akan berjaya," katanya.

Wabak SARS yang tercetus pada tahun 2002 menjangkiti 8,098 orang dan meragut 774 nyawa.

Sebaliknya, sehingga kini, 83,272 orang telah dijangkiti Covid-19 dengan 2,858 jumlah kematian.