Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerjasama Anwar-Mahathir untuk tamatkan kebuntuan Malaysia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SOAL JAWAB | "Harga untuk tidak bekerjasama antara satu sama lain adalah runtuhnya agenda untuk menyelematkan dan mereformasi Malaysia."

Apa jalan lain untuk negara selain dua pilihan yang telah meletakkan negara dalam kebuntuan? Saintis politik Prof Wong Chin Huat memberikan penjelasan.

Selain pilihan raya, apa alternatif yang ada jika Muhyiddin Yassin atau Anwar Ibrahim tidak memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan?

Ada satu alternatif, iaitu kerjasama Mahathir-Anwar, yang akan mendapat kekuatan yang menyaingi PH sebelum ia jatuh pada 23 Feb 2020.

Untuk berjaya, kerjasama politik ini memerlukan syarat berikut:

  • Pakatan dibuat secara bertulis
  • Ia perlu didedahkan kepada awam
  • Secara ideal, ia perlu disaksikan Yang di-Pertuan Agong setelah majoriti disahkan
  • Kedua-dua pihak perlu mengisytiharkan komitmen untuk menubuhkan kerajaan berdasarkan manifesto PH
  • Perlu dipersetujui bahawa Mahathir akan menjadi perdana menteri dan Anwar timbalannya, sehingga dua minggu selepas sidang Apec pada Nov ini. Selepas itu, Anwar akan menjadi perdana menteri, dengan timbalannya daripada Bersatu

Bagaimana jika Bersatu tidak ingin menyertai semula PH?

Kerajaan baru boleh berbentuk gabungan PH-Bersatu. Dan jika Bersatu mahu menyertai PH semula, ia akan menjadi kerajaan PH seperti sebelum ini.

Mengapa kita boleh yakin bentuk baru ini akan berjaya, memandangkan kerajaan PH runtuh?

Bentuk ini yang paling hampir dengan persetujuan yang dicapai mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu. Dalam persetujuan yang dinyatakan kepada umum itu, Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas sidang Apec, seperti yang dijanjikan kepada pengundi sebelum ini.

Selain itu, apa yang diperlukan untuk menghalang satu lagi Langkah Sheraton adalah dua perkara berikut:

  • Garis masa peralihan kuasa, misalnya dua minggu selepas sidang Apec
  • Anwar menjadi timbalan perdana menteri untuk membolehkan peralihan yang lancar

Jika kedua-dua pihak memang jujur komited untuk peralihan kuasa yang lancar, mereka patut menyokong bentuk baru ini.

Anda merasakan Mahathir dan Anwar boleh bekerjasama setelah apa yang berlaku. Ia bukan mudah. Mengapa anda merasakan begitu?

Harga untuk tidak bekerjasama antara satu sama lain adalah runtuhnya agenda untuk menyelematkan dan mereformasi Malaysia. Jika Umno dan PAS menjadi kerajaan, sama ada melalui gabungan baru atau pembubaran parlimen yang membawa kepada pilihan raya, agenda reformasi PH akan tenggelam selama-lamanya.

Selain itu, juga ada kemungkinan kes rasuah berprofil tinggi melibatkan Najib Razak, Ahmad Zahid Hamid dan yang lain akan digugurkan apabila peguam negara yang baru dilantik.

Maka, soalan untuk Mahathir dan Anwar ialah, adakah anda lebih bencikan satu sama lain berbanding kleptokrasi dan rompakan yang melumpuhkan negara?

Bagaimana dengan pemain utama Langkah Sheraton? Apa yang berlaku kepada mereka di bawah bentuk politik baru ini?

Jelas, format baru ini perlu menyertakan parti Mahathir iaitu Bersatu, yang telah disertai Azmin Ali dan sembilan MP dari PKR. Ini bermakna Kabinet perlu disertai beberapa menteri Bersatu. Pengenepian sepenuhnya mereka yang terlibat dalam Langkah Sheraton tidak mampan dari segi politik.

Untuk memastikan Kabinet baru dapat bekerja bersama-sama, Mahathir perlu mendapatkan nasihat Anwar untuk pelantikan menteri. Pada masa sama, Anwar perlu berhati mulia untuk bekerja dalam kerajaan yang turut disertai mereka yang bertanggungjawab.

Satu lagi syarat untuk menjayakan bentuk ini ialah mereka yang dilantik perlu mengisytiharkan secara terbuka sokongan tidak berbelah bahagi terhadap peralihan kuasa.

Adakah alternatif ini kerajaan perpaduan atau kerajaan tanpa parti seperti yang dicadangkan Mahathir.

Kedua-duanya bukan. Kerajaan perpaduan akan menyerap parti pembangkang dan justeru melemahkan semak dan imbang di dalam dan luar Parlimen, menghilangkan faktor kebertanggungjawaban dalam kerajaan, selain terbuka untuk korupsi.

Kerajaan perpaduan yang dicadangkan Mahathir serupa seperti kerajaan presiden - di mana presiden, yang mendapat mandat secara peribadi, boleh melantik sesiapa saja dalam kabinetnya. Ini tidak selari dengan sistem politik Malysia yang merupakan demokrasi berparlimen melalui raja beperlembagaan.

Bentuk yang kita bincangkan ini adalah satu kerajaan gabungan dalam sistem parlimen, di mana semua parti dalam kerajaan mesti setuju dengan manifesto Buku Harapan. Pada masa sama, pembangkang iaitu Umno dan PAS memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang.

Bagaimana jika ada daripada luar PH yang mahu menyertai gabungan baru ini?

Kuasa legislatif kerajaan boleh dikuatkan dengan dua cara, asalkan ia tidak menghilangkan blok pembangkang yang berfungsi dalam Parlimen.

Pertama, parti atau anggota parlimen secara individu boleh menyertai kerajaan jika mereka secara rasmi komited terhadap Buku Harapan.

Kedua, parti atau anggota parlimen secara individu boleh juga kekal bebas dan pada masa sama menyokong kerajaan, menerusi persetujuan “confidence and supply”. Ini bermakna mereka akan menyokong kerajaan dalam usul percaya aau tidak percaya, dan juga rang undang-undang perbekalan (belanjawan).

Apa peranan Sabah dan Sarawak dalam kerajaan seperti ini?

Penyertaan Sabah dan Sarawak penting untuk memastikan kestabilan dan kemampanan kerajaan persekutuan. Peranan Warisan perlu diiktiraf secara rasmi dalam kerajaan baru. Misalnya dengan memanggil gabungan ini sebagai kerajaan PH-Warisan atau PH-Bersatu-Warisan.

Pilihan sama patut diberikan kepada GPS. Kerajaan baru juga mungkin mahu menimbang untuk mewujudkan jawatan naib perdana menteri untuk Sabah, dan jika GPS juga mahu turut serta, untuk Sarawak.

Dengan bentuk ini, apabila pilihan raya umum diadakan nanti, bolehkah kita menjangka PH, Bersatu dan rakan Sabah dan Sarawak mereka untuk kekal sebagai sekutu, meletakkan seorang calon di setiap kawasan, seperti mana PH dan BN pada masa lalu?

Melihat kepada luka dari politiking, naif untuk kita merasakan mereka akan bertanding sebagai satu pasukan dalam PRU15.

Malah, meneruskan model lama - sebuah gabungan kekal - tidak produktif untuk kestabilan politik. Parti seperti PKR dan Bersatu, atau Warisan dan Bersatu, memiliki cita-cita dan tapak politik yang saling bertindih. Jika mereka tidak dibenarkan untuk berkembang melalui bertanding di lebih banyak kerusi, ia berisiko membawa kepada sabotaj dan pertikaian kerusi.

Bagi membolehkan kerajaan berfungsi sepanjang penggal ini, kerajaan baru perlu melihat dirinya bukan sebagai gabungan kekal, tetapi sebuah gabungan pasca-pilihan raya. Parti hanya bekerjasama dalam kerajaan dan akan bersaing dalam pilihan raya.

Maka, fokus utama kerajaan baru untuk baki penggal ini adalah mereformasikan sistem dan proses pilihan raya. Ia akan menjamin padang sama rata dan perwakilan saksama untuk semua parti, termasuk pembangkang, pada PRU15.

Jika bentuk baru ini berjaya, apakah yang patut menjadi keutamaan kerajaan baru?

Ada tiga perkara yang perlu diutamakan:

  • Menguruskan dan memperbaiki ekonomi susulan wabak Covid-19, dan perang dagang Amerika Syarikat-China yang belum tamat.
  • Melaksanakan reformasi institusi dan perundangan ke arah demokrasi pelbagai parti (multiparty), tatakeloala yang baik serta kebebasan sivil dan politik.
  • Memperbaiki hubungan antara kaum yang memburuk, dengan menangani kebimbangan dan rasa tidak selamat yang dirasakan orang Melayu dan Islam serta kaum lain, di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak.


WONG CHIN HUAT adalah profesor di Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development, Universiti Sunway. Beliau juga pakar sistem parti dan pilihan raya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.