Skip to main
Logo Malaysiakini

PDRM siasat akaun Facebook muat naik hantaran babitkan Agong

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan ke atas satu hantaran seorang pengguna Facebook yang membuat pelbagai dakwaan mengenai isu jawatan perdana menteri yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Huzir Mohamed, dalam satu kenyataan hari ini berkata, hantaran tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Selain itu, ia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Berdasarkan tangkap layar yang dikepilkan pihak polis dalam kenyataan berkenaan, hantaran itu antara lain mendakwa Yang di-Pertuan Agong mengarahkan Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Hantaran itu turut dikongsi beberapa akaun Facebook lain.

Tegas Huzir, pihak polis menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran pada orang awam bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

“PDRM juga menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang, mengeluarkan apa-apa kenyataan ataupun memuat naik sebarang artikel yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam atau mendatangkan kebencian kepada mana-mana pihak.

“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya lagi.