Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis beri amaran jauhi demontrasi di Sogo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis menggesa orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam demonstrasi yang dirancang diadakan di pekarangan pusat beli-belah Sogo petang ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanthan berkata demonstrasi itu mengganggu keamanan dan menyebabkan kesulitan awam.

"(Selain itu) tidak ada notis untuk perhimpunannya dan Sogo tidak diwartakan sebagai tempat protes," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Fahmi berkata polis bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan akan memastikan ketenteraman awam terpelihara.

Demonstrasi itu diadakan sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jawatankuasa Demonstrasi Selamatkan Malaysia dan mendakwa mewakili gabungan organisasi- organisasi masyakarakat sivil.

Kumpulan itu menyeru parlimen dibubarkan agar perbicaraan individu yang terlibat dakwaan rasuah diteruskan dan menggesa larangan terhadap tindakan "lompat parti".

"Kami menyeru warganegara untuk menyertai kami dalam menyatakan pendapat mereka dan menyatakan dengan jelas bahawa keadaan sekarang benar-benar tidak dapat diterima," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Protes itu dirancang selepas kejatuhan dramatik kerajaan persekutuan Pakatan Harapan akibat pembelotan dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin dan beberapa ahli parlimen daripada PH yang setia kepadanya berganding bahu dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan parti-parti lain yang lebih kecil untuk membentuk kerajaan baru.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan pagi ini.