Hadi: Ada juga pemimpin PH dibebaskan dari kes mahkamah
Presiden PAS Abdul Hadi Awang membangkitkan kes mahkamah pemimpin PH yang digugurkan, apabila ditanya pemberita berkenaan kedudukan pemimpin Umno - kini kembali sebagai kerajaan - yang masih dibicarakan di mahkamah.
"Apa yang penting selamatkan negara terlebih dahulu daripada kemelut politik yang berlaku...PAS ambil kira semua.
"Kalau nak dituduh pemimpin (Umno) terpalit dengan masalah, pemimpin PH pun ada yang terpalit dan (kes mereka) diberhentikan di mahkamah, dilepaskan begitu sahaja," katanya ketika sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan wajarkah pemimpin Umno yang kini dibicarakan di mahkamah dilantik ke dalam kabinet baru nanti.
Abdul Hadi tidak merujuk mana-mana pemimpin PH secara khusus.
Bagaimanapun pada bulan lalu pertuduhan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap 12 individu, termasuk dua adun DAP, digugurkan di mahkamah.
Selain itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah dihadapkan dengan dua pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran pada awal 2018, ketika pentadbiran BN.
Bagaimanapun pertuduhan terhadapnya digugurkan pada 3 September 2018, ketika pentadbiran PH.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengetuai gabungan baru yang merangkumi partinya Bersatu, BN, PAS, GPS dan beberapa parti kecil.
Antara pemimpin Umno yang kini berdepan pertuduhan rasuah ialah Najib Razak, Ahmad Zahid Hamid, Bung Moktar Radin, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Isa Samad. Isteri Najib, Rosmah Mansor turut berdepan perbicaraan kes rasuah.
Dalam sidang media hari ini, Hadi menggariskan visinya untuk kerajaan baru.
"PAS mengharapkan kerajaan persekutuan mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan, dan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, seterusnya menjaga prinsip federalisme dengan negeri-negeri.
"PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk dan menyarankan kerajaan untuk berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik," katanya
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai