Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Kedudukan exco Bersatu dalam k'jaan Selangor akan diteliti

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kedudukan seorang exco daripada Bersatu dalam pentadbiran kerajaan Selangor akan diteliti semula selepas pembentukan kerajaan persekutuan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata ia dilihat perlu dilakukan memandangkan kerajaan negeri ini masih kekal ditadbir oleh gabungan parti dalam PH.

"Kedudukan Bersatu (exco dalam kerajaan negeri) akan dilihat kembali, sebagaimana perbincangan saya dengan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Ir Izham Hashim sebelum ini.

"Kita terpaksa semak juga isu ini kerana adalah agak mustahil kerajaan pusat berbeza parti dan gabungannya (dengan kerajaan negeri). Ia boleh, tapi akan jadi agak janggal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Selangor 2020 di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Exco daripada Bersatu itu adalah Abdul Rashid Asari yang memegang portfolio Kebudayaan dan Pelancongan, Peradanan Melayu dan Warisan negeri serta merupakan pengerusi Bersatu Selangor.

Justeru kata Amirudin, beberapa tindakan susulan perlu dilakukan selepas ini, namun pihaknya tidak akan membuat sebarang keputusan dengan tergesa-gesa dan perlu mengikut prinsip yang diamalkan PH.

Pihaknya juga telah memaklumkan kepada Abdul Rashid mengenai perkara itu susulan Bersatu mengumumkan keluar daripada gabungan PH pada 24 Feb lepas.

"Reviu kedudukan Abdul Rashid akan saya kemukakan kepada pihak Istana Selangor dan calon pengganti akan saya umumkan bila sampai waktunya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu mengatakannya sebagai 'pengikut Azmin' sebelum ini, Amirudin yang juga wakil rakyat Sungai Tua tidak menafikannya kerana bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu pernah menjadi timbalan presiden PKR dan ketua PKR Gombak.

"Tapi dalam keadaan kini, beliau (telah) keluar parti, tetapi saya masih kekal dengan PKR dan masih 'intact' dengan PH.

"Kalau saya bertindak secara individu (mengikut jejak langkah Azmin keluar PKR), saya sudah sabotaj kerajaan negeri sekarang atau biarkan saja ia dalam keadaan tak tentu arah. Tanggungjawab kena jelas. Ada batasan tertentu dalam hubungan keluarga, kawan atau kenalan tetapi dalam politik dan organisasi, kita kena ada disiplin serta tanggungjawab," katanya.

-Bernama