Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Tiada kontak rapat pesakit kes 26 diuji positif setakat ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan tidak ada seorang pun kontak rapat dengan pesakit ke-26 Covid-19 diuji positif.

"Kami akan terus mengesan kontak rapat (pesakit Covid-19)," kata Dr Hisham kepada Malaysiakini.

"Sehingga kini tiada kontak rapat dengan pesakit ke 26 (Covid-19) diuji positif," katanya.

Seorang pesakit Covid-19 dipercayai berada dalam keadaan kontak rapat dengan seorang bekas menteri dan bekas timbalan menteri.

Malaysiakini difahamkan bahawa pesakit itu, yang merupakan pegawai kanan pengurusan Khazanah dan ketua sebuah syarikat berkaitan kerajaan, telah menghadiri satu acara kementerian yang dihadiri bekas menteri dan bekas timbalan menteri berkenaan.

Ia merupakan satu majlis penghargaan untuk kedua-duanya yang meninggalkan kementerian tersebut, susulan pembubaran kerajaan PH.

Acara itu diadakan pada 27 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Semalam, Khazanah Nasional Berhad mengesahkan salah seorang kakitangannya telah dijangkiti wabak Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan empat kes positif Covid-19 yang baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes itu kepada 29.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kakitangan itu ialah Kes 26, iaitu salah satu daripada empat kes baru tersebut.

Menurut Kementerian Kesihatan, pesakit Kes 26 telah ke Shanghai pada pertengahan Januari lalu.

Dia kemudian mengalami demam dan sakit tekak pada 27 Februari - hari sama acara itu diadakan - dan disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian.

Dia kemudian dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh.

Berdasarkan bukti bergambar acara pada 27 Februari itu, pesakit Kes 26 dilihat berdiri beberapa kaki daripada bekas menteri dan bekas menteri itu.

Malaysiakini telah menghubungi kedua-duanya. Seorang enggan mengulas perkara itu, manakala seorang lagi belum memberi maklum balas.

Malaysiakini difahamkan yang sekurang-kurangnya seorang daripada mereka kini mengasingkan dirinya (self-quarantine) dan akan membuat pemeriksaan dalam masa terdekat.

Seorang telah menyertai kerajaan Perikatan Nasional manakala seorang lagi kekal bersama PH.

Mereka telah berhubung dengan kalangan anggota parlimen dalam siri pertemuan politik, di tengah-tengah kebuntuan berikutan tumbangnya kerajaan PH pada Isnin lalu.

Perlu ditegaskan bahawa setakat malam tadi, tidak ada bukti lagi bahawa kedua-dua mereka telah dijangkiti oleh Covid-19.