Zahid nafi ada perjanjian gugur kes mahkamah
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan partinya ada membuat perjanjian untuk menggugurkan pendakwaan jenayah ke atas pemimpinnya sebagai balasan terhadap sokongan kepada kerajaan baru yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin semalam sah dilantik perdana menteri kelapan.
“Semua itu tak betul,” katanya kepada Malaysiakini dalam balasan teks pesanan.
Ketika diminta menjelaskan sama ada kenyatannya itu bermaksud semua kes rasuah membabitkan pemimpin Umno masih akan diteruskan sehingga keputusan mahkamah, Zahid menegaskan bahawa kes-kes yang dihadapinya adalah palsu.
“Dalam kes saya, semua kes saya itu palsu,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak mengulas tentang kes-kes pemimpin Umno yang lain.
Mantan perdana menteri merangkap pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa keputusan Muhyiddin untuk bekerja bersama Umno akan menyebabkan perbicaraan rasuah pemimpin-pemimpin Umno berada dalam ketidakpastian.
Kata Mahathir, dia hanya sanggup menerima anggota Umno secara individu, bukan secara keseluruhan (en bloc) memandangkan sebahagian pemimpin-pemimpinnya adalah korup.
Mahathir yang bertegas tidak mahu bekerja dengan Umno secara en bloc, diakali Muhyiddin apabila Muhyiddin berjaya menarik kebanyakan anggota Parlimen Bersatu untuk menyokongnya dan turut memperkuat gabungan barunya dengan bekas anggota PKR, BN dan juga GPS.
Pada Isnin lalu, Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri setelah kerajaan PH hilang majoriti di Dewan Rakyat.
Pemimpin-pemipin Umno termasuklah Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Bung Moktar Radin, Abdul Azeez Abdul Rahim, Mohd Isa Abdul Samad dan beberapa yang lain didakwa dengan tuduhan rasuah. Begitu juga dengan Isteri Najib, Rosmah Mansor.
Kes-kes tersebut berjalan ketika Mahathir menjadi perdana menteri selepas beliau mengetuai PH untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.
Perbicaraan Ahmad Zahid yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguh ke hari esok memandangkan beliau perlu terlibat dalam perbicangan bersama Muhyiddin untuk pembentukan kabinet baru.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kesnya bukanlah digugurkan, sebaliknya hanya ditangguhkan sehingga esok.
“Kes ini tidak digugurkan sama sekali seperti kes-kes lain sebelum ini.
“Insya-Allah, saya akan membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes.
“Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai