Dua kes Covid-19 pertama disahkan di Indonesia
Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini mengesahkan dua rakyatnya positif COVID-19, menjadikan ia kes pertama di negara berpenduduk lebih 270 juta orang itu.
Beliau berkata dua warganegara itu ialah seorang wanita berusia 64 tahun dan anak perempuannya, 31, berasal dari Depok, sebuah kota berhampiran Jakarta.
Jokowi berkata kedua-dua rakyatnya itu dilaporkan bertemu dan berurusan dengan seorang warga Jepun yang ke Indonesia baru-baru ini, sebelum warga Jepun itu berlepas ke Malaysia yang kemudiannya disahkan positif virus itu.
“Orang Jepun (itu) ke Indonesia...ternyata orang yang terkena virus korona (COVID-19) bertemu dengan dua orang, ibu 64 tahun dan anak perempuannya 31 tahun,” katanya di Istana Kepresidenan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Indonesia.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Indonesia Terawan Agus Putranto berkata dua warga Indonesia berkenaan kini dirawat di Rumah Sakit Penyakit Infeksi Sulianti Saroso di Jakarta Utara.
Sebelum ini terdapat sejumlah warga negara Indonesia yang positif virus COVID-19, namun mereka berada di luar negara Indonesia iaitu satu kes di Singapura dan sembilan kes di dalam kapal persiaran Diamond Princess di Chiba, Jepun.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai