Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM siasat bekas menteri ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya ekoran laporan berita mendakwa ada seorang bekas menteri dan bekas timbalan menteri mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Untuk rekod, pesakit ke-26 yang disahkan setakat ini ialah pegawai kanan di Khazanah Nasional Berhad dan Uda Holdings Berhad, dan kedua-dua ahli politik terbabit dilihat bersama dengan pegawai terbabit di satu acara pada 27 Feb.

Salah seorang ahli politik itu merupakan anggota Perikatan Nasional manakala seorang lagi dari PH.

Mengenai pesakit ke-26, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pegawai itu berada dalam pengasingan di Hospital Sungai Buloh dan dalam keadaan stabil.

Lima anggota keluarganya dan seorang pegawai khas yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit ke-26 itu disahkan negatif dari koronavirus selepas menjalani ujian.

"Pengesanan bagi kontak selanjutnya sedang dijalankan," katanya.

Untuk rekod tiada sebarang kes positif baru hari ini, dan secara keseluruhan seramai tujuh orang sedang dirawat kerana Covid-19 di negara ini.

Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita mengenai Covid-19 yang belum disahkan oleh kementerian bagi mengelakkan rasa panik dan salah faham.