Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam didakwa aibkan kehormatan bekas pembantu bekas menteri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang peguam hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengeluarkan perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan bekas pembantu kepada seorang bekas menteri.

Tuduhan itu dikenakan selepas lebih enam bulan laporan polis dibuat berhubung kejadian yang didakwa berlaku semasa majlis jamuan tahunan peguam jenayah di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Peguam itu, Sivaraj Retinasekharan, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas cubaan mengaibkan kehormatan Chong Yin Xin - yang juga seorang bekas peguam - dengan meluahkan kata-kata lucah terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Sivaraj didakwa melakukan kesalahan berkenaan di tingkat pertama sebuah hotel di Petaling Jaya pada 22 Jun tahun lalu.

Ketika dihubungi, peguam Chong, Esther Tan berkata, Sivaraj dibebaskan dengan jaminan RM3,000, dengan arahan supaya tidak mengganggu mangsa dan saksi lain.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir kemudian menetapkan 6 April sebagai tarikh seterusnya untuk mendengar kes itu.

DPP Hakim Amir Abdul Hamid mengetuai pihak pendakwaan manakala tertuduh diwakili oleh peguam Suraj Singh, salah seorang penganjur majlis makan malam itu.

Chong sebelum ini mendakwa bahawa suspek meraba tubuhnya dua kali dalam majlis jamuan itu.

Katanya, dia telah memberi amaran kepada suspek apabila dia meraba dan menjauhkan dirinya daripada lelaki tersebut.

Bagaimanapun, dia mendakwa lelaki itu, yang dikatakannya mabuk, mengikutinya dan mula mengancam serta melemparkan kata-kata tidak senonoh ke arahnya.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat dan polis Petaling Jaya menangkap suspek berkenaan dan membuka siasatan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang dengan niat jahat dan seksyen 509 Kanun Keseksaan atas tuduhan mengaibkan kehormatan seseorang.

[Baca berita penuh]