Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu pendiam, tak pernah komplen akan paling dirindu Loke

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anthony Loke secara rasminya menamatkan tugas sebagai menteri pengangkutan hari ini, selepas seminggu negara ini berdepan dengan krisis politik yang menyaksikan tumbangnya pentadbiran PH.

Pada majlis perpisahan tadi, Loke sempat memberi penghargaan kepada bekas pemandunya, Hazril Mohd Tanaim, yang berkhidmat selama 21 bulan di Kementerian Pengangkutan.

Menurut Loke, beliau sebelum ini sering medapat pujian ramai berhubung ketepatan masanya.

Bagaimanapun, kata anggota parlimen Seremban itu, pujian tersebut tidak sepatutnya diterima olehnya seorang saja, sebaliknya wajar diberikan kepada Hazril juga.

"Saya selalu mendapat pujian daripada penganjur majlis dan wartawan bahawa saya selalu sampai ke majlis lebih awal daripada jadual.

"Sebenarnya, kredit itu perlu ditujukan kepada Hazril. Setiap hari, beliau akan semak jadual saya untuk keesokan hari dan merancang perjalanan.

"Pengurusan masanya sangat baik. Saya jarang lewat ke mesyuarat atau majlis," kata Loke.

Berhati-hati memandu

Menurut beliau, Hazril sudah dianggap sebahagian daripada pasukannya di Kementerian Pengangkutan.

"Saya tak pernah biarkan kerusi depan kereta kosong. Kalau bodyguard (pengawal keselamatan) saya cuti, saya akan duduk depan.

"Kali pertama saya buat begitu, dia terperanjat. Dia kata tak pernah lihat menteri duduk depan. Saya kata, saya tak kisah sangat tentang protokol," katanya.

Malah, menurut Loke, orang yang akan paling rinduinya di Kementerian Pengangkutan selepas ini adalah Hazril.

"Orangnya pendiam tetapi amat berdedikasi dalam kerjanya. Dalam 21 bulan yang lalu, saya bersama dengan dia hampir setiap hari, Isnin hingga Ahad.

"Kadangkala program saya sampai lewat malam tetapi keesokan harinya dia tetap sampai di rumah saya pada awal pagi. Tak pernah komplen, tak pernah kata letih. Dia selalu kata: YB cakap saja nak keluar pukul berapa.

"Saya amat berterima kasih kepada Hazril. Semoga beliau dan isterinya yang juga kakitangan Kementerian Pengangkutan akan terus berkhidmat bersungguh-sungguh. Saya juga harap anak comelnya sentiasa sihat.

"Hazril, terima kasih dan sentiasa berhati-hati semasa memandu. Thank you! Ikhlas daripada saya.....Loke," katanya di Facebook.