Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya tak idam jawatan PM, hanya tampil selamatkan keadaan - Muhyiddin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak mengidam jawatan perdana menteri dan hanya mahu menyelamatkan keadaan ekoran krisis politik yang melanda negara.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen, Muhyiddin berkata beliau sedar pelantikan berkenaan bukan melalui pilihan raya, sebaliknya daripada sokongan majoriti Dewan Rakyat.

"Ini adalah satu amalan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi berparlimen di Malaysia.

"Setelah melalui kemelut politik yang melanda negara kita sejak seminggu yang lalu, saya tahu saudara-saudari tentunya mahu negara kita kembali berada di landasan yang betul. 

"Saudara-saudari pastinya tidak mahu negara kita diheret ke dalam kemelut politik yang lebih besar," kata presiden Bersatu itu.

Kata Muhyiddin, beliau tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan sesiapa.

"Saya cuma ingin memberikan sedikit penjelasan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku supaya keikhlasan saya tidak dipersoalkan.

"Saya tidak mengidamkan jawatan perdana menteri. 

"Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," kata anggota parlimen Pagoh itu.

'Dr M gagal dapat sokongan majoriti'

Muhyiddin mengangkat sumpah semalam sebagai perdana menteri kelapan dari gabungan Bersatu, BN dan PAS yang digelar sebagai Perikatan Nasional.

Beliau juga menerima sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dr Mahathir Mohamad, bagaimanapun menyalahkan Muhyiddin kerana mencetuskan ketidakstabilan politik sejak minggu lalu, dengan mendakwa presiden Bersatu itu mempergunakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mencetuskan krisis berkenaan.

Muhyiddin sebaliknya berkata pada peringkat awal, beliau dan semua anggota parlimen Bersatu telah memberikan sokongan padu kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

"Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain. Perkara ini telah dijelaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara pada 28 Februari 2020," kata Muhyiddin.

Oleh yang demikian, katanya, Yang Di-Pertuan Agong telah menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Ketika itulah nama saya sebagai calon perdana menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu dan ketua-ketua parti yang lain. Menurut mereka saya mempunyai sokongan majoriti.

"Saya mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Apa pilihan yang saya ada? Terus menyokong Tun Dr Mahathir yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri?

"Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya umum perlu diadakan," katanya.

Muhyiddin berkata beliau kemudiannya bertemu Mahathir dan meminta sokongan daripadanya yang turut disaksikan oleh dua tokoh parti.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata Mahathir bersetuju memberi laluan kepadanya sekiranya mendapat sokongan majoriti.

"Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020," katanya.

'Dengar baik-baik, saya bukan pengkhianat'

Muhyiddin berkata beliau sedar ramai yang marah kepadanya dan telah melabelkan beliau pengkhianat.

"Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik. Saya bukanlah pengkhianat.

"Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut.

Dalam perutusan khasnya, Muhyiddin turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mahathir kerana telah berkhidmat untuk negara.

Minggu lepas Muhyiddin membawa sebahagian besar anggota parlimen Bersatu untuk bersama anggota parlimen dari Umno, PAS,  GPS dan beberapa parti yang lebih kecil.

Bilangan sebenar anggota parlimen yang menyokong beliau dan Mahathir pada masa itu tidak jelas kerana berubah-ubah, namun kedua-duanya mendakwa mempunyai majoriti.

Sokongan majoriti terhadap perdana menteri hanya akan teruji apabila parlimen bersidang semula.