Skip to main
Logo Malaysiakini

Demokrasi dirogol pengkhianat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN |Negara mencatatkan satu lagi sejarah hitam kemelut politik yang akhirnya menyaksikan demokrasi dirogol dan dibunuh.

Buat pertama kalinya kerajaan yang menang melalui sistem undi demokrasi pilihan raya, dijatuhkan dengan pengkhianatan lompat parti membentuk blok baru bagi merampas kuasa pemerintahan.

Bukan sekadar pemerintahan kerajaan pusat, rampasan kuasa pintu belakang turut berlaku di beberapa negeri.

Pemimpin-pemimpin yang berkhianat ini tidak ubah seperti pelacur yang melacurkan maruahnya semata-mata untuk mendapat nikmat keuntungan.

Sifat tamak dan dahagakan kuasa begitu menebal sehingga mereka menyusun langkah demi mencapai matlamat yang akhirnya menghalalkan cara.

Sejarah Pakatan Harapan

Keputusan pilihan raya umum ke-14 mencatatkan sejarah apabila kerajaan kleptokrasi BN yang menguasai pemerintahan selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang dengan kuasa rakyat.

Gabungan Pakatan Harapan menyaksikan dua tokoh politik utama negara, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim berganding bahu membentuk PH.

Gabungan yang terdiri dari empat buah parti, PKR, DAP, Amanah, dan Bersatu berjaya memenangi hati rakyat.

Gabungan ini kemudiannya disertai Parti Warisan dari Sabah sebagai rakan sekutu yang akhirnya membentuk sebuah kerajaan di peringkat persekutuan.

Gandingan ini dilihat kukuh dan kuat tetapi terdapat duri dalam daging yang merancang untuk memusnahkan keutuhannya.

Anwar PM ke-8

Sebelum PH membentuk kerajaan persekutuan, tiga janji telah diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018.

Mahathir sebagai calon perdana menteri, Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri dan Anwar Ibrahim sebagai bakal perdana menteri ke lapan setelah proses pengampunan dan mengembalikan beliau ke Dewan Rakyat.

Umum mengetahui janji ini sangat jelas dan semua pendukung PH menyedarinya.

Malah Mahathir juga menyatakan dengan jelas akan komitmen untuk menunaikan janji dan Anwar pula akan terus memberikan sokongan selagi mana Mahathir bergelar perdana menteri.

Namun golongan yang iri hati dan dengki mula tidak senang dengan janji ini. Mereka mula menjalankan muslihat licik dan kotor untuk menjahanamkan rancangan peralihan kuasa.

Pada mulanya mereka memainkan sentimen kebencian rakyat dengan membangkitkan soalan peralihan kuasa ini berkali-kali.

Sedangkan peralihan kuasa ini jelas dan tidak perlu dipertikaikan, namun sentimen media dan propaganda berjaya mengalihkan perhatian untuk memperlihatkan kononnya Anwar dan Mahathir bertelagah.

Maka pelan kerajaan pintu belakang mula disusun dengan memanfaatkan isu peralihan kuasa.

Pengkhianatan bermula

Beberapa nama ahli politik PH boleh dikaitkan secara langsung dengan pengkhianatan sehingga jatuhnya kerajaan PH.

Azmin Ali, Muhyidin Yassin, Zuraida Kamarudin, Rashid Hasnon dan beberapa nama lagi akan dikenang sepanjang zaman sebagai pengkhianat PH.

Azmin dan Zuraida bersama sembilan lagi ahli parlimen PKR yang lain memilih untuk keluar parti demi bersama blok baru muafakat nasional.

Mereka mengenepikan maruah dan amanah yang dipikul demi kuasa dan kedudukan.

Mereka ini tidak ubah seperti pelacur politik yang melacur demi mendapatkan sesuatu walaupun terpaksa curang terhadap amanah rakyat.

Tentunya kecurangan mereka disambut parti-parti pembangkang seperti Umno dan PAS yang memang selama ini mengintai peluang untuk kembali berkuasa.

Walaupun PAS dikenali sebagai parti yang mementingkan Islam, ternyata bila datang tawaran kuasa walaupun dengan jalan kecurangan, mereka menerimanya tanpa dalil.

Maka benarlah kata sesetengah orang mereka yang berpegangan agama juga kadangkala kalah dengan godaan kuasa dan kedudukan.

Apatah lagi parti Umno yang sememangnya sangat dahagakan kuasa. Tambahan lagi ramai para pemimpin mereka kini sedang melalui proses perbicaraan salah laku di mahkamah.

Barangkali mereka fikir hanya dengan kembali berkuasa, mereka dapat menyelamatkan diri dari kehakiman.

Akhirnya terbentuklah gabungan Muafakat Nasional yang terdiri daripada mereka yang berkhianat dan curang kepada rakyat.

Mereka ini harus dikenang sebagai sikitol pengkhianat zaman moden yang meruntuhkan sebuah kerajaan demokrasi.

Siapa yang gila kuasa

Episod pengkhianatan ini membuktikan siapa sebenarnya yang gila kuasa dan tamak dalam Pakatan Harapan.

Naratif dan persepsi yang dimainkan pengkhianat sangat licik sehingga ada yang terpedaya dengan mainan persepsi ciptaan mereka.

Ada yang berpendapat bahawa Mahathir berhasrat untuk kekal sebagai perdana menteri sehingga hujung nyawa.

Hakikatnya Mahathir berkali-kali berikrar bahawa beliau akan melepaskan jawatan PM untuk diserahkan kepada penggantinya Anwar seperti yang dijanjikan.

Ada pula yang mengatakan Anwar yang sebenarnya tamak dan gila nak jadi perdana menteri.

Tetapi mereka lupa bahawa Anwar telah melalui pelbagai derita perjuangan selama lebih 20 tahun.

Beliau juga pernah selangkah menjadi perdana menteri dan pernah memangku jawatan perdana menteri.

Menghormati janji PH, Anwar terus memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada Mahathir.

Malah dalam usaha menamatkan krisis pengkhianatan ini, Anwar sekali lagi mengenepikan soal kuasa.

Beliau sendiri tampil ke istana sebagai wakil PH bagi menyerahkan nama Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Catatan ini membuktikan bahawa Anwar tidak sekelumit pun gila untuk menjadi perdana menteri.

Yang ada pada Anwar hanyalah soal prinsip dan rakyat yang harus menjadi agenda keutamaan perjuangan.

Boleh disimpulkan bahawa Mahathir dan Anwar adalah negarawan sejati yang sayangkan negara.

Mereka yang terbukti gila kuasa adalah pengkhianat yang menjatuhkan kerajaan yang dipilih melalui mandat rakyat.

Masa untuk bangkit

Rakyat Malaysia seharusnya sedar bahawa rampasan kuasa dengan jalan menubuhkan kerajaan melalui pengkhianatan ini tidak boleh diizinkan sama sekali.

Kita perlu kembali ke ruang demokrasi dengan mengangkat pilihan rakyat sebagai keutamaan.

Mandat yang diberikan rakyat melalui pilihan raya tidak harus dikhianati dengan jalan pintu belakang.

Para pengkhianat mandat rakyat ini seharusnya berasa malu dengan perbuatan mereka yang telah merogol demokrasi.

Malah mereka juga seharusnya berasa malu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan hasrat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang.

Tentunya rakyat akan tetap menjunjung tinggi sebarang titah dan perintah Seri Paduka.

Yakinlah bahawa keputusan yang telah dititahkan ini ada hikmahnya dan terimalah dengan berlapang dada.

Maka rakyat harus berganding bahu dan bersatu padu menolak para pengkhianat kerajaan pintu belakang sama ada melalui undi tidak percaya di parlimen mahupun jalan pilihan raya.

Tiada tempat untuk pengkhianat dalam institusi masyarakat.


SYED BADLI SHAH SYED OSMAN ialah naib ketua Pemuda PKR (AMK).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.