Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful rayu ahli Bersatu berkasih sayang

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu cuba meredakan ketegangan di antara dua kumpulan berbeza dalam parti itu ekoran pembentukan kerajaan Perikatan Nasional baru-baru ini.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada pemimpin parti menyelesaikan perbezaan pandangan yang timbul sekarang.

Katanya semua anggota Bersatu sayangkan pemimpin utama parti itu termasuk Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir.

"Hentikanlah tuduh-menuduh dalam media umum. Hentikanlah memberikan komen yang menimbulkan kemarahan sesama kita. Hentikanlah mengeluarkan kenyataan yang berpandukan emosi.

"Kita perlu kembalikan semangat kasih sayang agar kita boleh bergerak ke hadapan dan menjadi parti yang memimpin kerajaan yang stabil dan bersatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin ialah presiden Bersatu yang kini tidak sependapat dengan Mahathir. Bagi penyokong bekas perdana menteri itu, beliau masih lagi berjawatan pengerusi Bersatu, manakala Muhyddin berpendapat jawatan tersebut sudah dikosongkan ekoran surat peletakan jawatan Mahathir.

Bagaimanapun untuk rekod, mesyuarat MPT Bersatu selepas itu dilaporkan menolak peletakan jawatan Mahathir.

Sejak itu Mahathir menyerang Muhyiddin dan menganggap ahli parlimen Pagoh tersebut paling banyak mengkhianatinya di sebalik kedudukan mereka sebagai pemimpin tertinggi Bersatu.

Wan Saiful berkata dia yakin semua anggota Bersatu mahu memastikan parti itu berada "di landasan yang benar"

"Saya rasa semua rakan dalam MPT, pemimpin dan ahli parti di negeri, bahagian dan cawangan bersetuju jika saya katakan bahawa kita semua mahu keluarga ini tidak berpecah dan kembali menjadi harmoni," katanya.