Skip to main
Logo Malaysiakini

Tian Chua elak soalan tentang langkah Azmin, Zuraida

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Naib Presiden PKR Tian Chua mengelak apabila ditanya sama ada tindakan bekas sekutunya dalam parti, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin, sepanjang minggu lalu telah menyimpang daripada agenda reformasi.

Sebaliknya Chua berkata hala tuju dan masa depan kerajaan baru belum jelas.

"Sekarang kita tak dapat melihat satu arah tuju yang jelas, saya tak boleh buat penilaian sama ada kerajaan baru ini akan terjadi pun. Kita tidak tahu kerana dalam Parlimen akan datang akan ada cabaran sama ada Muhyiddin Yassin ada majoriti yang cukup untuk terus sebagai perdana menteri.

"Adakah barisan Kabinet yang akan disusun (akan melibatkan) golongan yang dulu dianggap salah guna kuasa dan kes korupsi akhirnya kembali ke barisan kepimpinan. Itu kita tak nampak lagi," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini.

Azmin dan Zuraida merupakan individu utama dalam kemelut politik yang berlaku minggu lalu, yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH selepas Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Kedua-duanya telah menyertai Bersatu dan kini sebahagian dalam gabungan Perikatan Nasional yang diketuai Muhyiddin dan dianggotai Umno dan PAS.

Chua yang sebelum ini dilihat pemimpin PKR yang menyokong Azmin, berkata tanpa mengira siapa yang memegang kuasa, agenda reformasi yang dimulakan PH pada 2018 perlu diteruskan.

Katanya, mereka yang menerima mandat rakyat untuk menubuhkan kerajaan pada 2018 tidak boleh dikecualikan dalam "formula pemerintahan".

"(Mengenepikan mereka adalah) satu penafian terhadap hak pengundi. Saya tegas dalam perkara ini.

"Formula pemerintah, sama ada dipimpin oleh Muhyiddin atau Mahathir, harus menyerap golongan yang telah mendapat mandat dalam PRU lalu.

"Mereka adalah parti yang yang telah dipilih (pengundi)," katanya lagi.

Dalam wawancara itu, Chua turt menyuarakan sokongan terhadap hasrat Mahathir untuk menubuhkan kerajaan yang tidak berdasarkan parti.

Ditanya siapakah yang akan disokongnya dalam situasi undi tidak percaya, bekas anggota Parlimen Batu itu berkata sebagai anggota PKR, beliau akan menyokong Mahathir.