Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tidak mustahil kita bersidang semasa puasa, atau lepas raya’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mahu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini ditangguhkan ketika wakil rakyat Pakatan Harapan merancang untuk membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang sedang membentuk kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya lihat mustahil tarikh yang ditetapkan kerajaan lama (PH) dapat diteruskan. Apapun PM perlu memberi notis baru kepada speaker.

“Kerajaan baru memerlukan sekurang kurangnya dua bulan sebelum boleh bersidang.Tidak mustahil kita bersidang semasa puasa, atau selepas Hari Raya,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Annuar mengulas kenyataan Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof semalam yang berkata, sidang Parlimen tidak akan ditangguh susulan penyebaran wabak Covid-19.

Ini berikutan kebimbangan mengenai Covid-19 selepas dua orang ahli parlimen dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 yang disahkan. Walau bagaimanapun, keputusan ujian kedua-dua ahli parlimen semalam didapati adalah negatif.

“Wajar ada penangguhan tapi bukan kerana Covid-19. Sewaktu PH membentuk kerajaan, Parlimen hanya bersidang lebih dua bulan kemudiannya.

“Banyak perkara perlu disempurnakan oleh kerajaan sebelum Parlimen bersidang. Ia melibatkan pembentukan kabinet, pencalonan speaker, soalan MP dan jawapan kerajaan dan lain-lain,” katanya.

Dalam ciapan di Twitter yang berasingan, Annuar juga memberi amaran bahawa kerajaan PN harus diuruskan dengan baik atau akan menjejaki pentadbiran PH, yang tumbang pada 24 Feb lalu berikutan pembelotan daripada pemimpin Bersatu dan PKR.

“Sekiranya tak diuruskan dengan baik, percayalah PN akan memecahkan rekod PH sebagai kerajaan paling singkat.

“Apa-apa pergolakan kali ini bererti Parlimen wajib dibubarkan dan PRU mengejut wajib diadakan,” katanya.

Mengikut perlembagaan persekutuan, sidang Dewan Rakyat tidak boleh ditangguhkan lebih daripada enam bulan daripada tarikh terakhir persidangannya.

Parlimen dijadual mengadakan sidangnya pada 9 Mac tetapi spekulasi bertiup kencang bahawa Muhyiddin mungkin cuba menunda sidang itu sehingga dia memperkukuhkan kedudukannya dengan memastikan dirinya memiliki majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

PH mendakwa ia mempunyai sokongan daripada 114 Ahli Parlimen, tetapi keadaan masih berubah-ubah kerana ahli parlimen sentiasa menukar sokongan mereka. Sokongan sekurang-kurangnya 112 ahli parlimen diperlukan untuk majoriti mudah.

Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.”

Bagaimanapun, perlembagaan tidak menyebut apa yang akan berlaku jika tempoh lebih enam bulan dibenarkan berlalu.