Skip to main
Logo Malaysiakini

Curi air: Kebun sayur di Port Dickson kena serbu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini menyerbu sebuah kebun sayur di Kampung Jimah Lama dekat Port Dickson, selepas dikesan membuat penyambungan paip secara haram bagi tujuan mencuri air.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Mohd Fazil Ismail berkata serbuan itu dijalankan pada pukul 11 pagi selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam dan siasatan mendapati pemilik kebun telah melakukan penyambungan haram tanpa meter di lokasi berkenaan.

"Sambungan yang dilakukan ini adalah untuk menyalurkan bekalan air dalam premis itu bagi tujuan aktiviti penanaman dan kegunaan harian," katanya kepada pemberita di Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Fazil berkata SPAN juga memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang kes berkaitan perbuatan mencuri air kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN dengan menelefon 03-83179333 atau menghantar email ke [email protected].

-Bernama