Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahathir nafi jadi pencetus krisis politik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menuduh beliau mencetuskan krisis politik minggu lalu.

Muhyiddin dalam ucapannya semalam berkata Mahathir telah menjadi penyebab kepada krisis itu dengan tindakannya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

“Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan?

“Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya?

“Ini tidak masuk akal,” katanya menerusi blog beliau hari ini.

Kemelut politik pada minggu lalu menyaksikan Muhyiddin yang juga merupakan sebahagian daripada gerakan merancang rampasan kuasa, membentuk kerajaan baru tanpa PKR, DAP dan Amanah.

Ia bermula pada 23 Feb, diikuti pada hari berikutnya dengan peletakan jawatan Mahathir, yang juga menyaksikan Muhyiddin secara rasmi umum Bersatu keluar dari Pakatan Harapan.

Mahathir dalam tulisannya itu juga mengatakan bahawa beliau meletak jawatan kerana beliau enggan bekerja dengan Umno dan kerana percaya beliau telah kehilangan sokongan majoriti.

Pemimpin berusia 94 tahun itu turut meminta maaf kerana meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, kerana ia dilihat sebagai satu langkah yang akhirnya menyaksikan Muhyiddin menyandang jawatan tersebut pada 1 Mac lalu.

Dalam blognya hari ini, Mahathir berkata sewaktu krisis itu berlaku, beliau telah menggesa kepada pembentukan kerajaan bukan berasaskan parti politik kerana “rakyat bosan dengan orang politik yang lebih utama politik dari pentadbiran yang baik.”

Kenyataannya itu dilihat ditujukan buat Muhyiddin, yang beliau disifatkan seperti meletakkan politik melebihi prinsip.

“Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat,” katanya.

Selepas bekerja bersama PH pada Sabtu dalam usaha terakhir untuk menggagalkan rancangan Muhyiddin, Mahathir mendakwa pihaknya mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, ia hanya dapat diketahui sewaktu persidangan sesi Dewan Rakyat nanti yang sepatutnya dijadualkan pada Isnin depan.