Skip to main
Logo Malaysiakini

Khalid sedia bantu kerajaan baru jika diperlukan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyatakan kesediaannya untuk membantu kerajaan baru jika khidmatnya diperlukan.

Kesediaan itu dinyatakan menerusi satu hantaran di Facebooknya, yang turut menyertakan gambar pertemuannya dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Khalid berkata, kemelut politik yang telah berakhir minggu lalu dengan penubuhan kerajaan baru adalah situasi sukar yang cukup mencabar.

"Tanpa niat yang betul serta istiqamah, saya percaya kemelut yang berlaku tidak akan diselesaikan dengan baik.

"InsyaAllah, jika diperlukan, saya bersedia menghulur tangan membantu dan memberi khidmat," katanya.

Mengulas pertemuan dengan Hadi, Khalid berkata amat penting untuk PAS mengambil peluang menjadi sebahagian kerajaan Perikatan Nasional untuk membina kepercayaan rakyat.

 "Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru kerana menjadi sebahagian daripada usaha penyelesaian polemik kepimpinan negara yang mana rakyat akhirnya menyaksikan tertubuhnya kerajaan baru.

"Amat penting bagi PAS untuk mengambil peluang untuk membina kepercayaan rakyat sebagai kerajaan yang amanah, cekap dan telus," katanya lagi.

Pada 1 Mac lalu Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ia selepas seminggu kemelut politik yang bermula dengan keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota Parlimen PKR - yang kemudiannya menyertai Bersatu - daripada PH yang menyebabkan Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Selain Bersatu, gabungan baru yang dipanggil sebagai Perikatan Nasional turut dianggotai Umno dan PAS. Gabungan Parti Sarawak pula menyokong Muhyiddin tanpa menyertai gabungan itu.