Afif letak jawatan sebagai exco Pulau Pinang
Dr Afif Bahardin meletakkan jawatan sebagai exco Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.
Tindakan itu dibuat setelah beliau mendapat surat tunjuk sebab daripada PKR atas dakwaan mensabotaj parti dalam kongres parti itu Disember tahun lepas.
Peletakan jawatan itu disahkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Afif, bekas ketua Pemuda PKR itu bagaimanapun kekal sebagai anggota parlimen Seberang Jaya - yang disandangnya selama dua penggal.
Afif dijadual mengadakan sidang media berkaitan perkara itu di rumahnya pada jam 3.30 petang ini.
Sementara itu, pada masa yang sama, tersebar juga mesej di WhatsApp menyebut satu perhimpunan akan diadakan di rumahnya bagi menyatakan setiakawan kepada pemimpin itu.
Pesanan itu menyebut Afif akan mengumumkan arah tuju politik masa depannya.
Afif semalam berkata akan kekal dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan yang memenangi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang dalam pilihan raya umum.
Beliau dikenali sebagai pemimpin muda daripada kem bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang terlibat dalam penjajaran semula blok politik yang meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Afif dilantik sebagai exco kesihatan dan pertanian selepas mememenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2013.
Dia letak jawatan, bukan dipecat - KM
Sementera itu, di Komtar, Chow berkata Afif menyerahkan surat peletakan jawatannya selepas pertemuan mereka pada jam 8.15 pagi tadi,
Chow berkata, mesyuarat exco menerima peletakan jawatan itu.
Chow berkata pihaknya juga telah memaklumkan perkara itu kepada PKR dan akan membincangkan tindakan lanjut.
Dengan kerusi dipegangnya dalam DUN, Chow berkata Afif masih dianggap sebahagian daripada kerajaan negeri.
Ditanya sama ada Afif ditekan oleh PKR untuk berbuat demikian, Chow berkata:
“Dia letak jawatan, bukan dipecat. Jadi isu yang kamu bangkitkan tidak berbangkit.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai