Skip to main
Logo Malaysiakini

PTPTN sudah wujudkan sistem patuh syariah sejak 2008

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sudah memperkenalkan sistem bayaran balik pinjaman patuh syariah sejak 2008.

Semakan Malaysiakini melalui laman sesawang agensi itu mendapati, sistem yang dikenali sebagai pinjaman Ujrah itu telah diputuskan sebagai patuh syariah oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 28 Julai 2008.

"Ujrah ialah upah satu peratus (1%) setahun pada kadar rata yang dikenakan ke atas pinjaman.

"Ia dikenakan bagi menampung kos-kos bagi mengurus dan menyediakan pinjaman kepada peminjam".

Kenyataan itu dengan merujuk penjelasan PTPTN melalui laman rasminya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Ahmad Yakob menyatakan harapannya agar kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perikatan Nasional supaya PTPTN menghapuskan unsur riba dalam kaedah pembayaran pinjaman yang dikenakan.

Sebagai rekod sistem pinjaman Ujrah berkuatkuasa kepada permohonan baru mulai Disember 2008, manakala bagi pinjaman sedia ada, proses pertukaran daripada pinjaman konvensional kepada pinjaman Ujrah telah dilaksanakan mulai 1 Ogos 2009.

Bagaimanapun, peminjam sedia ada perlu membuat permohonan dan menandatangani dokumen tawaran baru dengan jumlah pinjaman yang baru.

Ia perlu dilakukan kerana ia melibatkan dua prinsip (kaedah) yang berbeza iaitu konvensional dan patuh syariah.